
KUALA LUMPUR: Dengan hanya RM50, rakyat Malaysia yang layak boleh menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari menerusi perkhidmatan KTM Komuter di laluan terpilih bermula 1 Disember ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengaktifan Pas MyKomuter50 akan dibuka lebih awal iaitu pada 16 November bagi membolehkan pengguna membuat persiapan sebelum pas itu mula berkuat kuasa.
Inisiatif Kerajaan MADANI itu menawarkan penjimatan tambang sehingga 88 peratus, sekali gus membantu meringankan kos pengangkutan harian khususnya bagi golongan pekerja dan pelajar.
“Sebagai contoh, pengguna laluan Tanjung Malim–KL Sentral yang lazimnya membelanjakan RM416 bagi tambang perjalanan dalam tempoh 30 hari hanya perlu membayar RM50 dengan Pas MyKomuter50, sekali gus menikmati penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88 peratus.
“Bagi laluan Alor Setar–Butterworth pula, pengguna berpeluang menjimatkan sehingga RM234 atau kira-kira 82 peratus, berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh dan kekerapan perjalanan yang sama,” menurut kenyataan itu.
Pas berkenaan ditawarkan kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun ke atas yang bukan pemegang Pas MyRailLife, dengan pengesahan kelayakan menggunakan MyKad atau MyKid.
Ia meliputi tiga perkhidmatan utama iaitu KTM Komuter Utara, KTM Komuter Lembah Klang dan KTM Komuter Shuttle Selatan.
Bagi perkhidmatan utara, pas tersebut boleh digunakan di laluan Padang Besar–Butterworth dan Butterworth–Ipoh, manakala perkhidmatan Lembah Klang merangkumi laluan Tanjung Malim–Pelabuhan Klang serta Batu Caves–Pulau Sebang/Tampin.
Sementara itu, perkhidmatan Shuttle Selatan melibatkan laluan Paloh–JB Sentral dan Kempas Baru–Pasir Gudang.
Pengguna boleh mengaktifkan pas melalui aplikasi KTM Mobile atau KITS Style dengan memuat naik salinan dokumen pengenalan diri, namun proses kelulusan mengambil masa sehingga tiga hari bekerja.
Bagi pengesahan segera, pengguna boleh menggunakan mesin kios tiket atau hadir ke kaunter stesen KTM Komuter dengan membawa MyKad atau MyKid asal.
Selepas pengesahan kelayakan, pembelian pas boleh dibuat melalui aplikasi KTM Mobile atau KITS Style, selain kaunter bagi pembelian Kad Komuter Link.
KTMB turut menyediakan kemudahan pengaktifan dan pembelian kad di 34 stesen terpilih, termasuk 11 kaunter pendaftaran tambahan bagi melancarkan urusan pengguna. — AlHijrah Online