Connect with us

ALHIJRAH NEWS

REJIM ISRAEL SERANG HOSPITAL NASSER, ENAM RAKYAT PALESTIN SYAHID

DUNIA

REJIM ISRAEL SERANG HOSPITAL NASSER, ENAM RAKYAT PALESTIN SYAHID

Enam rakyat Palestin terkorban dan lebih 20 cedera selepas serangan udara Israel mengenai Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis sehingga merosakkan wad rawatan rapi serta wad pembedahan.

ISTANBUL: Enam rakyat Palestin terkorban manakala lebih 20 yang lain cedera selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Kompleks Perubatan Nasser di selatan Gaza pada awal pagi Khamis.

Menurut Pertahanan Awam Gaza, serangan itu mengenai tingkat dua bangunan Al-Yasin di kompleks perubatan berkenaan yang terletak di barat Khan Younis.

Pengarah hospital memaklumkan serangan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada wad rawatan rapi dan wad pembedahan.

Radio Tentera Israel pula mendakwa serangan itu merupakan “operasi pembunuhan” tanpa memberikan butiran lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, lima rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel di Bandaraya Gaza dan kem pelarian Bureij pada Rabu, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan pada Selasa.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

Pelanggaran berkenaan telah mengorbankan 1,622 rakyat Palestin dan mencederakan 5,878 yang lain.

Sejak Oktober 2023, perang Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 74,600 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan hampir 176,000 yang lain dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Peperangan itu turut memusnahkan 90 peratus infrastruktur di wilayah berkenaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top