
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tertakluk kepada syarat dan sekatan ketat sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, termasuk larangan keluar dari premis yang diwartakan serta terlibat dalam aktiviti politik atau liputan media.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekatan itu merangkumi empat perkara utama yang dilampirkan bersama Perintah Pengampunan Bersyarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Empat syarat utama berkenaan melibatkan sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
“Di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, berkenaan dengan tempat tinggal, disebut dengan jelas. Tempat tinggal itu ialah nombor 11 di Jalan Langgak Duta. Disebut terang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri, Seksyen 3 Akta Penjara, cuma mewartakan premis itu.
“Kemudian, di situ juga disebut bahawa tak dibenarkan untuk berpindah ke rumah lain, bangunan lain atau premis lain. Tak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung syarat khusus yang dikenakan terhadap Najib sepanjang menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah serta agensi yang bertanggungjawab memantau pematuhan syarat berkenaan.
Menurut Saifuddin Nasution, Najib hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga terdekat iaitu isteri, anak-anak, menantu dan cucu, manakala sebarang penerimaan tetamu luar memerlukan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut hanya dibenarkan menggunakan peranti telekomunikasi yang didaftarkan Jabatan Penjara bagi tujuan pengesahan keberadaan.
Dalam masa sama, Najib dilarang membuat sebarang kenyataan atau ulasan media, mendedahkan diri menerusi mana-mana platform media sosial serta menghadiri majlis keramaian.
Saifuddin Nasution berkata, KDN juga tidak dapat memenuhi permohonan bertulis Najib untuk memasukkan satu lagi kediaman sebagai premis tambahan kerana terikat dengan ketetapan satu premis oleh Lembaga Pengampunan.
Menjawab persoalan mengenai persepsi hukuman “dua darjat”, beliau menegaskan hak memohon pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira status, manakala KDN dan Jabatan Penjara hanya bertindak sebagai agensi pelaksana mengikut tertib undang-undang.
Beliau turut memaklumkan tahanan rumah Najib akan dibatalkan serta-merta sekiranya mana-mana syarat yang ditetapkan dilanggar.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata beliau bersedia membawa syor ke mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi mempertimbangkan cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan kes berkenaan. — AlHijrah Online