Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KERANA AMANAH, MALAYSIA KEKAL JAGUH PENGURUSAN HAJI DUNIA

UTAMA

KERANA AMANAH, MALAYSIA KEKAL JAGUH PENGURUSAN HAJI DUNIA

Dalam kalangan ratusan negara yang menghantar jemaah mereka, Malaysia sentiasa menjadi penanda aras. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkongsi satu detik yang sangat menyentuh hati apabila Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi sendiri, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi datang melawat ke khemah kita untuk melihat sendiri persiapan rapi yang kita lakukan.

Setiap kali musim haji melabuhkan tirainya, balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pasti akan menyaksikan satu pemandangan yang meruntun jiwa. Titisan air mata kesyukuran, pelukan hangat yang lama dirindui dan wajah-wajah tenang sang Duyufurrahman yang selamat kembali ke tanah air. Bagi kita yang berdiri menyaksikan kepulangan ini, ada satu rasa sebak yang menjalar kuat di dada. Namun, bagi musim haji 1447H yang bersamaan dengan tahun 2026 ini, gendang kebanggaan wajib kita palu lebih kuat. 

Manakan tidak, ketika dunia luar sedang dihurung badai kegusaran ekoran ketegangan geopolitik yang meruncing di Selat Hormuz antara Iran dan Amerika Syarikat, urusan jemaah haji kita sedikit pun tidak terjejas. Keupayaan kerajaan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) mengemudi kesiapsiagaan pada tahap paling maksimum, membuktikan bahawa negara kita memiliki kematangan strategik dan kecekapan luar biasa dalam mendepani krisis global demi keselamatan jemaah. Menguruskan lebih 31,600 nyawa di seberang laut dalam suasana persekitaran yang serba asing dan mencabar, bukanlah satu tugas yang mudah. Sekiranya kita melihat dari sudut pandang yang lebih mendalam, kejayaan ini bukannya sebuah tuah yang datang bergolek. Ini manifestasi komitmen berterusan sebuah institusi yang dibina atas asas amanah yang kukuh. 

Pengiktirafan tertinggi yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini merupakan satu pengesahan moral yang sangat bermakna. Baginda sendiri yang pernah merasai bimbingan TH sebanyak dua kali, mengakui kecekapan bertaraf dunia ini, sekali gus mengajak kita mengimbas kembali sejarah penubuhan TH oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1959. Kita wajar berbangga kerana model simpanan patuh syariah yang unik ini telah menyelamatkan maruah ekonomi umat Islam daripada berhutang atau menggadaikan aset. Hari ini, model yang sama itu sedang memimpin dunia pengurusan haji negara.

Apabila kita bercakap tentang pengiktirafan global, hati kita pastinya berbunga bangga apabila mendengar khabar dari Tanah Suci. TH sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dengan merangkul Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Sesuatu yang sangat mengujakan untuk kita teliti ialah 2026 merupakan tahun kedua berturut-turut kita memegang anugerah berstatus Diamond tersebut dan kemenangan kali kelima berturut-turut dalam ekosistem haji global sejak beberapa tahun belakangan ini. 

Ini adalah satu penghormatan diplomatik tertinggi yang membuktikan dunia luar memandang tinggi pengurusan haji kita.

Setiap kejayaan besar pasti berpaut pada nakhoda yang bijak. Di bawah pengurusan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mustakim Mohamad, kita dapat melihat bagaimana sebuah badan berkanun tempatan bergerak maju melakukan transformasi digital secara drastik. Kaedah konvensional sudah perlahan-lahan diadaptasikan dengan kemajuan sains dan teknologi melalui penglibatan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan haji yang lebih teratur. Kita seharusnya kagum dengan platform digital seperti aplikasi e-TAIB yang membolehkan jemaah mendapat jawapan hukum-hakam secara pantas daripada pakar rujuk syariah. Inilah nilai tambah yang kita bawa. Teknologi canggih diadun tuntutan ibadah, mewujudkan seperca suasana yang tenang dan selamat sebagai tetamu Allah.

Rakyat Malaysia terkenal sebagai bangsa yang penuh sifat ihsan. Sepanjang pengembaraan agung ini, kebajikan jemaah diletakkan mengatasi segala-galanya. Betapa lancarnya inisiatif Makkah Route. Duyufurrahman tidak perlu lagi tersangkut dalam barisan panjang yang melelahkan di lapangan terbang Jeddah kerana segala urusan imigresen dan kastam sudah diselesaikan di KLIA. Beg pakaian mereka ditimbang, dikodkan bahkan dihantar terus ke penginapan. Di tengah-tengah bahang cuaca Makkah yang mencabar mencecah 47 darjah Celsius, kita menarik nafas lega apabila mendapat tahu TH menyediakan kemudahan khemah baharu jenis ET yang lebih selesa di kawasan Masyair untuk melindungi jemaah daripada strok haba.

“Kami serahkan ibu dan ayah kami kepada Tabung Haji.”

Itu ungkapan anak-anak jemaah haji sebelum menyerahkan ibu bapa mereka kepada pengurusan Tabung Haji dalam perjalanan suci ini. Ia adalah satu penyerahan amanah yang berat untuk ditanggung para petugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Seramai 225 warga Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdiri daripada doktor pakar, jururawat dan ahli farmasi dibawa khusus untuk menyediakan klinik 24 jam di setiap bangunan penginapan. Malah, demi menyantuni jemaah yang keletihan fizikal, mesin-mesin urut disediakan di laluan penginapan dan unit fisioterapi. Semuanya demi keselesaan mereka. Belum dikira bagaimana petugas tetap meronda tanpa lelah di sekitar Masjidil Haram untuk memastikan tiada jemaah Malaysia terutamanya warga emas yang tersesat atau dibiarkan tanpa huluran bantuan. Wajar sekali tabik hormat diberikan kepada pasukan petugas khas yang digelar ‘Semut Hitam’. 

Kita juga tidak boleh melupakan aspek psikososial yang disediakan kerajaan. Berada jauh di perantauan selama lebih 40 hari pastinya menguji ketahanan mental sebahagian jemaah. Keberadaan kaunselor bertauliah untuk menguruskan emosi mereka menunjukkan betapa holistiknya sistem sokongan yang kita bina. Malah untuk aspek sekecil-kecil hal seperti pemakanan pun kita titikberatkan. Diterbangkan chef dari tanah air demi memastikan perut jemaah sentiasa  terisi dengan hidangan tempatan. 

Di sepanjang laluan darat yang gersang dari Madinah ke Makkah, kita tubuhkan Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) di R&R Al Hijrah, Wadi Starah untuk menjadi perisai keselamatan jemaah. Semua ini membuktikan bahawa petugas Tabung Haji tidak melihat tugas sebagai kerja semata-mata, melainkan khidmat bakti suci seakan-akan ibu bapa kandung sendiri yang sedang dijaga.

Satu lagi perkara yang membuatkan kita mendongak bangga adalah apabila Malaysia diiktiraf sebagai antara negara perintis dalam usaha kelestarian alam melalui program Green Hajj (Haji Lestari). Melalui inisiatif ini, kita mendahului negara lain dengan mendidik jemaah mengamalkan budaya kitar semula dan kitar tinggi kain ihram serta barangan-barangan terpakai, di samping menjaga kebersihan di Masyair. Tindakan ini mempamerkan kepada dunia bahawa jemaah Malaysia bukan sahaja berdisiplin dan berakhlak tinggi seperti yang dipuji oleh pihak berkuasa Arab Saudi, malah kita adalah jemaah yang madani dari aspek pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Ini hal yang wajar dipuji

Apabila kumpulan jemaah haji terawal mula menjejakkan kaki di balai ketibaan KLIA Terminal 1, suasana yang dibanjiri air mata kesyukuran itu adalah jawapan kepada segala kerja keras ini. Di sebalik kepulangan selamat mereka, ada pengorbanan besar ratusan petugas yang terpaksa meninggalkan anak kecil, pasangan dan ibu bapa yang uzur di tanah air selama dua bulan demi mengutamakan tetamu Allah.

Walau bagaimanapun, kejayaan juga datang menyapa sebagai ujian. Mengekalkan status sebagai jaguh pengurusan haji adalah jauh lebih sukar daripada mencapainya. Ini adalah satu ujian keinsafan agar kita tidak leka bahkan dibuai rasa selesa dengan pencapaian sedia ada. Pengiktirafan ini menuntut kita untuk melipatgandakan dan mencari ruang penambahbaikan tanpa henti bagi memastikan standard lima bintang ini tidak merosot walau sedikit pun pada masa hadapan.

Kejayaan luar biasa pengurusan haji tahun 2026 ini bukan sekadar kejayaan di atas kertas semata-mata. Inilah cerminan kepada keupayaan sebuah kerajaan yang stabil, prihatin dan kompeten dalam memelihara kebajikan rakyatnya. Apabila tadbir urus kita diangkat menjadi kiblat rujukan global, ia membuktikan bahawa gandingan nilai amanah, ihsan dan profesionalisme mampu melahirkan sistem pengurusan yang kalis krisis. Kita sekali lagi menegaskan kepada dunia bahawa dalam apa jua cabaran, Malaysia tetap berdiri sebagai yang terbaik. Pengiktirafan tertinggi ini adalah anugerah buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendambakan sebuah tadbir urus negara yang berintegriti, kompeten dan bertaraf dunia! — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading