
Sumber Gambar: BERNAMA
PUTRAJAYA: Pembangunan potensi pelajar termasuk dalam menangani isu kesihatan mental memerlukan pendekatan menyeluruh serta sokongan rakan sebaya dan tidak boleh bergantung kepada sesebuah kementerian sahaja, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata nilai kebersamaan dalam kalangan pelajar perlu diperkukuh memandangkan antara faktor yang boleh menyumbang kepada isu sosial dan kesihatan mental ialah kecenderungan untuk menyendiri serta kurang berinteraksi dengan rakan.
“Isu sosial, isu kesihatan mental dan lain-lain ini ialah satu daripada puncanya disebabkan oleh sifat mereka yang menyendiri, tidak mahu berkawan kerana dengan ada gajet baharu di hadapan mereka.
“Jadi sebab itu mereka perlu bersama-sama membantu… itu adalah sangat penting,” katanya ketika menghadiri Forum Menteri mengenai Pendidikan: Daripada Idea Nasional kepada Tindakan Nasional yang diadakan sempena Festival of Ideas hari ini.
Zambry berkata pendekatan berkenaan turut memerlukan kerjasama kementerian lain, khususnya dalam perkara berkaitan kesihatan, kesihatan mental, pembangunan sumber manusia serta pengenalpastian potensi dan bidang pekerjaan.
“Kalau hal yang berkaitan dengan pembangunan potensi pelajar-pelajar kita, ia ada juga kaitan dengan beberapa kementerian lain.
“Sebagai contoh, kalau kita bercakap tentang isu berkaitan kesihatan, kesihatan mental dan sebagainya, maka sebab itulah kita menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan, iaitu bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain,” katanya.
Beliau berkata hubungan dan kerjasama antara kementerian penting bagi memastikan pembangunan pelajar dilaksanakan secara menyeluruh, selain membantu mereka membentuk nilai kebersamaan dan meningkatkan potensi masing-masing.
FOI Putrajaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 November menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, termasuk 16 sesi perbincangan membabitkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa.
Festival itu turut disertai delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau. — AlHijrah Online.