Lintasan maut pelarian Mexico

Oleh Rozais al-Anamy

KUALA LUMPUR – KISAH Oscar Alberto Martinez Ramirez dan bayinya Valerie mati lemas dalam usaha berhijrah ke Amerika Syarikat yang tersiar di media sosial beberapa hari lepas mengembalikan ingatan kita kepada tragedi yang menimpa kanak-kanak malang pelarian Syria, Aylan Kurdi yang terdampar sendirian dihantar ombak ke pesisir pantai Pantai Bodrum, Turki.

Gambar yang dirakam wartawan, Julia De Run dan disiarkan dalam akhbar La Jornada di Mexico itu memaparkan seorang bapa dalam keadaan dipeluk leher oleh anak perempuannya berusia 23 bulan yang terdampar di tebing Sungai Rio Grande, Mexico pada 23 Jun lepas menjadi tular di media sosial bermula 25 Jun, sekali lagi mendapat perhatian dunia.

Aylan merupakan salah seorang daripada 12 warga Syria yang hanyut setelah bot yang mereka naiki untuk Greece karam. Keluarga Aylan yang berasal dari Kobani berdekatan sempadan Turki di utara Syria menjadi medan tempur militan IS dan gerila Kurdis.

Manakala dalam kisah Ramirez, beliau dilaporkan tertekan kerana keluarganya dari El Salvador tidak dapat berdepan dengan pihak berkuasa AS untuk memohon suaka lantas merentasi sungai bersama anak dan isterinya, Tania Vanessa Avalos.

Oscar Alberto Martinez Ramirez ditemui mati lemas sewaktu menyelamatkan anaknya di tebing Sungai Rio Grande, Mexico, Ahad lepas. FOTO REUTERS

Menurut cerita Avalos yang terselamat dalam insiden itu kepada polis di tempat kejadian, dalam usaha bergilir menyeberang itu, Ramirez dan Valerie dihanyutkan arus sungai.

Sempadan AS-Mexico sepanjang 3,200 kilometer yang memang terkenal sebagai amat berbahaya itu merupakan ‘lintasan maut’ antara kedua-dua negara. Dilaporkan sebanyak 283 orang pendatang maut setakat tahun lalu.

Tragedi ini hanya diulas ringkas oleh Presiden Mexico, Andres Manuel Obrador, “Amat kesal dengan insiden yang berlaku ini”, manakala White House langsung tidak memberi komen terhadap kematian warga El Salvador tersebut.

Pada waktu yang hampir sama di Austria, polis baru-baru ini temui puluhan mayat yang telah busuk dalam sebuah trak ditinggalkan di tepi jalan antara Vienna dan Budapest. Mangsa dikenalpasti sebagai pelarian yang diseludup masuk, dan mati akibat sesak nafas setelah dipaksa bersembunyi dalam tempat yang tertutup dalam keadaan sesak lagi berhimpit.

Tiga kisah di atas hanyalah kisah kecil daripada beribu cerita duka sengsara dari cerita dunia yang menyayat hati. Walaupun berbeza tempat dan kisah, namun matlamat dari pelarian mereka ialah mencari kehidupan yang lebih baik daripada yang sedang dihadapi.

Aylan mewakili kisah kembara untuk melarikan diri dari sebuah negara yang bergolak, manakala kisah dua-beranak itu pula merupakan pelarian dari kehidupan yang penuh kemiskinan dan kekacauan.

Kanak-kanak pelarian dari Syria, Aylan Kurdi mati lemas dan terdampar di pantai peranginan terkenal Turki dalam perjalanannya ke pulau Kos di Greece.

Nyawa semakin murah dalam dunia yang sudah semakin menipis kemanusiaan ini. Aylan merupakan antara ribuan insan kecil yang terlibat dalam kancah peperangan oleh kepentingan pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka, manakala Ramirez dan anaknya pula mangsa kepada kegagalan sebuah pemerintahan yang menjamin kesejahteraan warganya.

Kematian insan kecil seperti pelarian dan pendatang tidak meninggalkan kesan mendalam kepada manusia yang hanya memikirkan kuasa dan harta.

Rakyat dari sebuah negara bergolak yang sudah tidak dapat bertahan di tanah kelahiran akan membuat pilihan berhijrah, manakala yang masih tinggi semangat patriotiknya cuba bertahan sementara menanti pihak yang berseteru kembali berdamai walaupun ancaman peluru dan letusan bom pada setiap saat tanpa senggang memburu mereka.

Hilangnya kepercayaan dan harapan kepada tanah air menjadi faktor utama kepada pelarian atau pendatang. Apabila seseorang berasa diri mereka menjadi mangsa kepada perebutan kuasa para pemimpin negara, ketidakadilan, ketamakan harta dan kekejaman pemerintah atau pemimpin, sudah pasti mereka akan mencari kehidupan di negara yang khabarnya lebih baik.

Walaupun mungkin tahu dasar negara yang dituju tidak menerima pendatang atau pelarian, mereka yang sudah kecewa dengan kehidupan di negara sendiri ini tekad menyeberang sempadan dengan harapan terselamat dari ‘mulut harimau’.

Walhal secara logiknya, dalam kes pendatang Mexico, apalah yang boleh diharap dari sebuah negara yang diperintah  manusia seperti Donald Trump, yang umum mengetahui sebaik sahaja dilantik terus mengumumkan prinsipnya menutup pintu negara kepada pelarian dan pendatang dari Mexico dan Asia Barat.

Seru Trump sejurus dilantik Presiden US, “Tidak ada lagu khas untuk masyarakat sedunia, tidak ada mata wang sedunia dan tidak ada sijil untuk memberi pengiktirafan kepada warganegara sedunia.”

Seharusnya mereka dapat menebak nasib yang bakal dilalui apabila menjadi pendatang atau pelarian tanpa restu dari negara yang diharapkan suaka. Apa yang terjadi jelas membuktikan mereka hanya keluar dari mulut harimau untuk menuju ke mulut buaya yang menunggu mereka di mana-mana pintu sempadan.

Kanak-kanak pelarian Syria di Jordan bernasib baik kerana terpilih menjalani kehidupan di negara Islam.

Demikian juga untuk berhijrah ke negara yang membuka pintu kepada pelarian dan pendatang pula, wajar juga difikir oleh mereka, khususnya Muslim, bagaimana mereka dapat mengekalkan iman mereka apabila terlantar di negara baru khususnya negara bukan Islam.

Ini berdasarkan pemerhatian, terdapat kuasa besar termasuk daripada kalangan negara Eropah sendiri sedang mengatur strategi menghalau atau membiarkan Muslim dan Kristian dari negara Arab dan Afrika melalui pelbagai cara supaya mereka menjadi pelarian dan pendatang, bagi menambah ruang lebih selesa buat Israel melebarkan lagi wilayah negara Yahudi itu di Timur Tengah.

Kecurigaan ini berasas bersandarkan latar belakang dan sejarah politik negara-negara Arab termasuk pelantikan sesetengah pemerintah yang ada pada hari ini, yang juga bersusur galur daripada percaturan yang diatur oleh kuasa Eropah sendiri pasca kolonial.

Justeru itulah kita lihat mereka begitu prihatin tentang nasib pelarian sedangkan apa yang berlaku di Syria langsung tidak dihiraukan. Begitu juga Perancis dan NATO yang beria-ia menyerang Libya, namun dalam krisis Syria mereka menjadi pekak dan bisu.

Walhal kuasa besar ini boleh sahaja bertindak menarik balik sokongan kepada negara yang diperintah diktator dan memberi tekanan kepada mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Walhal kuasa besar ini boleh sahaja bertindak menarik balik sokongan kepada negara yang diperintah diktator dan memberi tekanan kepada mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Suatu ketika dahulu, kita menyaksikan sebuah keluarga pelarian dari Iran yang asalnya Islam menjalani upacara pembaptisan di sebuah gereja di Jerman. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka untuk hidup sejahtera di negara orang.

Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott pula pernah mengeluarkan kenyataan bahawa negaranya hanya bersedia untuk menerima pelarian dari Timur Tengah yang beragama Kristian sahaja.

Namun dalam keadaan terdesak, ramai yang gagal bertindak rasional. Mereka seolah-olah mangsa lemas yang sanggup bergantung kepada apa sahaja yang mampu digapai, yang kadangkala boleh memberi kesan kepada akidah dan prinsip hidup.

Pepatah Arab menyebut “Manusia lebih rela jadi anjing pada masa aman daripada hidup sebagai manusia ketika perang.”

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis

Leave a Reply