Pasir Gudang – Jangan sekadar sapu daun kering

Oleh Rozais al-Anamy

KUALA LUMPUR – Laporan eksklusif Berita Harian (BH) yang mendedahkan sekurang-kurangnya 20 zon perindustrian diibarat ‘bom jangka’ yang menyebabkan penduduk terdedah kepada bahaya pencemaran, temasuk pelepasan gas beracun adalah suatu peringatan kepada semua pihak untuk bersedia menangani bencana yang bakal terjadi.

Ia umpama amaran dari tanda-tanda yang dapat dikesan sebelum meletusnya sebuah gunung berapi. Adakah kita hanya menunggu ia meletus dahulu sebelum berpindah ke kawasan yang lebih selamat, atau kekal berada di situ dengan pelbagai persediaan awal supaya tidak terjejas oleh kemudaratan dari letusannya?

Dalam menangani isu berulang di Pasir Gudang yang mengalami masalah pencemaran udara dua kali dalam masa lebih kurang tiga bulan antara Mac dan Jun tahun ini, pelbagai pihak tampil dengan bermacam-macam saranan dan tindakan, yang kebanyakannya mengecewakan para penduduk setempat terutamanya.

Irfan Wafiy, 12 adalah salah seorang mangsa pencemaran toksik di Pasir Gudang disahkan menghidap Myokimia yang menyebabkan anggota badannya menggeletar.

Gesaan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC), Yeo Bee Yin supaya pihak industri kimia di Pasir Gudang menyediakan alat pengesan gas (multi gas detector) kepada 111 sekolah di kawasan itu umpama menyapu daun kering dari sebatang pohon yang lebat daunnya.

Malangnya lagi, sekiranya kilang tersebut menaikkan harga produknya ekoran pertambahan kos dalam operasi ekoran gesaan itu. Sebuah tindakan perlu difikir kesan masa singkat dan panjangnya, supaya ia tidak menerbitkan masalah lain.

Tindakan meminta pihak sekolah belajar cara menggunakan alat pengesan gas bagi memantau bacaan gas secara berterusan itu pula ialah umpama memindahkan beban ke atas pundak mereka yang tidak bersalah untuk kesalahan yang dibuat oleh pihak lain.

Garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mewujudkan zon penampan yang selamat di antara zon perindustrian dan perumahan juga dilihat tidak bertepatan untuk menjamin keselamatan membabitkan kilang yang mengeluarkan bahan bertoksik.

Saranan bagi mewujudkan pelbagai akta dan undang-undang dalam situasi genting sebegini adalah ucapan retorika dan menyerlahkan tindakan panik semata-mata, kerana negara kita sudah ada undang-undang yang mampu membendung perkara ini berlaku seandainya ia diikuti dan dikuat kuasakan sepenuhnya.

Hanya setelah asakan demi asakan oleh masyarakat dan pemerhati, baharulah Bee Yin menegaskan akan mengadakan operasi bersepadu dalam tempoh sebulan ini untuk mengesan dan menutup semua kilang haram di kawasan Pasir Gudang, Khamis lalu, ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-PKR Pasir Gudang) di Dewan Rakyat pada hari yang sama.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar mengambil sampel bahan kimia di kilang memproses bahan lusuh yang disita di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO HARIAN METRO

Walhal sejak tragedi di Sungai Kim Kim lagi, tindakan menutup kilang-kilang bermasalah tersebut sudah boleh diputuskan setelah laporan diteliti.

Setelah meneliti perkembangan yang berlaku di Pasir Gudang khususnya, terbukti negara kita berdepan dengan penguatkuasaan yang lemah, di mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilihat tidak tegas melakukan penguatkuasaan dan pemantauan, selain kemungkinan wujudnya ketirisan integriti dalam kalangan pihak berkepentingan.

Hal ini diakui oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sewaktu ditemubual oleh Berita Harian semalam berhubung isu pencemaran dan pelepasan gas beracun di Pasir Gudang.

“Sehubungan itu kita mahu PBT kena tegas menguatkuasakan dan pemantauan. Jangan bila mereka (pengusaha kilang) merayu dan ahli politik masuk campur, habis,” kata beliau kepada BH.

Saranan Zuraida supaya menempatkan semua kilang berkaitan bahan kitar semula dan berisiko menyebabkan pencemaran di satu lokasi sama bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan merupakan suatu usaha yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini.

Ini memandangkan Pasir Gudang sangat padat dengan kilang dan perumahan sehingga wujudnya kilang yang letaknya sangat berhampiran dengan kawasan sekolah iaitu sejarak 300 meter sahaja.

Mungkin suatu ketika dahulu, ia sesuai berada di kawasan tersebut, namun pertambahan penempatan baru dan penduduk seharusnya dipantau oleh PBT.

Kedudukan kilang dalam kawasan perumahan adalah sangat berbahaya dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku andai PBT secara proaktif mengambil tahu perkembangan setempat.

Tinggal berhampiran kawasan industri ringan atau sederhana sahaja pun cukup membuatkan seseorang itu tidak selesa, apatah lagi untuk dikelilingi sejumlah kilang yang menyebabkan nyawa terancam. Kilang-kilang tersebut bukanlah terbina dalam sebulan dua ini.

Tinggal berhampiran kawasan industri ringan atau sederhana sahaja pun cukup membuatkan seseorang itu tidak selesa, apatah lagi untuk dikelilingi sejumlah kilang yang menyebabkan nyawa terancam. Kilang-kilang tersebut bukanlah terbina dalam sebulan dua ini.

Justeru itu tindakan yang lebih tegas dikenakan terhadap kilang yang beroperasi secara haram sebagaimana gesaan Zuraida haruslah disokong pemimpin tertinggi dan mendapat kerjasama semua pihak tanpa mengira kepentingan.

Idea tidak popular Zuraida “memotong pohon yang bermasalah” mungkin mewujudkan kemarahan pihak terlibat, namun ia langkah yang berpihak kepada menjaga nyawa manusia dalam sebuah negara yang berpegang kepada Maqasid Syariah.

Tindakan menutup dan memindahkan kilang ini walaupun tidak sepenuhnya berkesan membasmi pencemaran ekoran sikap tidak bertanggungjawab ini, sekurang-kurangnya ia lebih praktikal dan efektif dalam masa terdekat kerana untuk menghapuskan terus masalah tidak bermoral ini hanyalah melalui pendidikan warga, iaitu membongkar terus akar kepada pohon masalah, agar tidak bertunas semula pohon baharu.

Leave a Reply