RAKYAT SABAH ‘UBAH BALIK’

Keputusan penuh PRN Sabah ke-16

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggabungkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang Pilihan Raya Negeri ke-16 semalam sekali gus membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Gabungan berkenaan memperoleh 38 kerusi selepas melepasi angka majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, gabungan Warisan Plus, terdiri daripada parti Warisan, Amanah, DAP, PKR serta UPKO memperoleh 32 kerusi DUN. Warisan sahaja memenangi 29 kerusi, dua UPKO dan satu PKR.

Tiga calon bebas turut menang di kawasan yang mereka tandingi.

Dalam sidang media khas yang diadakan kira-kira jam 12.10 pagi (Ahad), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi yang telah memilih GRS untuk membentuk kerajaan negeri.

Sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin diadakan jam 12.10 tengah malam

GRS katanya akan segera menunaikan janji yang dilafazkan ketika musim kempennya kepada Rakyat.

“Ini masa untuk kita mulakan tugas sebagai wakil rakyat yang dipilih dengan segala integriti, amanah dan dedikasi seperti apa yang kita janjikan dalam aku janji.”

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon terpilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan berharap agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul.

GRS mula meraikan kemenangan sekitar jam 8 malam tadi selepas siri keputusan tidak rasmi memihak kepada gabungan itu.

Sementara itu, GRS dijadual mengumumkan nama calon Ketua Menteri pagi ini. Ia akan dibuat sebelum upacara angkat sumpah berlangsung di Istana Negeri.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam sidang media yang diadakan jam 2 pagi tadi. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply