ALHIJRAH ONLINE

YAPEIM PERUNTUK RM1 JUTA UNTUK MISI MUSAADAH COVID19

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan menerusi Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) 2.0  bagi menjayakan Misi Musaadah COVID19 yang akan bermula 23 Mac ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata seramai 2,000 keluarga kumpulan sasar akan mendapat manfaat daripada program khas sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 itu.

“Prihatin dengan situasi yang melanda negara, YAPEIM tampil menyahut seruan bersama-sama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 selaras dengan keputusan Mesyuarat Pasca Kabinet YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Mac 2020 di Putrajaya.

“Misi ini adalah bertujuan meringankan bebanan kepada kumpulan sasar yang sedang dikenalpasti di seluruh negara dan akan dilaksanakan agensi-agensi agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Misi Musaadah COVID19 merujuk kepada program bantuan golongan asnaf dan petugas barisan hadapan yang kini terkesan secara langsung dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak penyakit itu melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula kelmarin.

Mohd Daud berkata melalui program itu YAPEIM akan menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sumbangan  barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan sebagainya.

“YAPEIM melalui Pusat Pentadbiran YAPEIM Negeri dan Pasaraya YAPEIM Mart akan melaksanakan misi ini secara berperingkat dengan mengenalpasti penerima dan menyelaras kaedah saluran sumbangan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan Kerajaan,” katanya. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Exit mobile version