SINDIKET CAP PALSU, LAGI PEGAWAI IMIGRESEN DITAHAN

Sumber: AWANI

PUTRAJAYA: Seorang lagi anggota Jabatan Imigresen Gred KP19 ditahan reman hari ini, bagi membantu siasatan pembabitannya dalam sindiket urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara.

Suspek dihadap ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi permohonan reman.

Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin membenarkan anggota yang bertugas di KLIA2 itu direman selama enam hari.

Dengan penahanan baharu itu, jumlah pegawai yang ditahan menerusi Ops Selat kini 54 individu, termasuk 34 pegawai imigresen yang bertugas di KLIA, KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor.

Ops Selat digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, yang membabitkan serbuan di Putrajaya; Johor Bahru, Johor; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
 
Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.—AlHijrah Online

Leave a Reply