Terengganu catat kenaikan peratusan bayi tidak divaksin

Kesedaran tentang kepentingan vaksinisasi perlu dipertingkatkan dikalangan rakyat. – Foto google

TERENGGANU, 6 Mac – Bilangan bayi yang dikesan tidak diberi suntikan imunisasi di Terengganu meningkat kira-kira 17 peratus iaitu seramai 231 bayi pada 2018 berbanding 191 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, peningkatan itu didorong oleh pelbagai faktor.

Antaranya faktor tersebut ialah wujudnya keraguan dikalangan sesetengah golongan masyarakat terhadap kesucian vaksin serta tidak yakin dengan keselamatan kandungannya.

Jelas Dr Mohamad, walaupun nisbah penolakan adalah kecil berbanding purata kelahiran 25 ribu bayi setiap tahun di negeri ini, namun pihaknya berhasrat mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus bayi diberi suntikan imunisasi.

Ia bagi mencegah penularan pelbagai penyakit berbahaya antaranya demam campak, difteria, tetanus serta batuk kokol.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program derma darah sempena Hari Penolong Pegawai Perubatan Peringkat Terengganu 2019 di hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam pada itu Dr Muhamad berkata, suntikan vaksin di kalangan masyarakat juga bertujuan merangsang “herd immunity” yang penting untuk bayi serta individu yang tidak boleh diberi vaksin ekoran faktor kesihatan.

Leave a Reply