BAYI MAUT DISYAKI AKIBAT DIDERA, POLIS TAHAN EMPAT INDIVIDU

Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU: Polis menahan empat individu di sekitar sini yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang bayi perempuan berumur sembilan bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dipercayai akibat didera, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata empat individu yang berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sini pada pukul 10 malam, Khamis.

Beliau berkata Rabu lepas polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari HSA berhubung seorang bayi perempuan warga asing yang ketika itu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), disyaki akibat didera.

“Bayi itu disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 3.50 pagi keesokkan harinya, dan hasil bedah siasat mendapati wujud elemen jenayah dalam punca kematian bayi itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Balveer berkata dua daripada yang ditahan ialah pengasuh bayi berkenaan iaitu pasangan suami isteri warga tempatan, dan polis masih berusaha mengesan ibu kepada bayi itu yang merupakan warga Vietnam.

“Kesemua yang ditahan direman selama enam hari bermula Jumaat lepas. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda mkasimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply