Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SERANGAN BALAI POLIS : DUA ANGGOTA POLIS DIKLASIFIKASI SYAHID

DALAM NEGARA

SERANGAN BALAI POLIS : DUA ANGGOTA POLIS DIKLASIFIKASI SYAHID

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, itu adalah di jalan Allah, kerana menjaga dan mempertahankan keselamatan negara

Dua konstabel yang maut dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lepas diklasifikasikan sebagai mati syahid kerana kematian Fi Sabilillah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kematian Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, itu adalah di jalan Allah, kerana menjaga dan mempertahankan keselamatan negara.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan jenazah Allayarham kedua-dua anggota ini sebagai syahid akhirat, dengan pengurusan jenazah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

“Jawatankuasa mendoakan agar roh kedua-dua anggota ini dicucuri rahmat, kasih sayang dan keredhaan Allah, serta mendoakan Polis Diraja Malaysia terus bersemangat dan diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas dalam menjaga keselamatan daripada pelbagai ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung pengurusan jenazah suspek lelaki berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam serangan itu, beliau berkata jawatankuasa memutuskan jenazah dimandi, dikafan dan disolat di hospital atau di rumah keluarganya sahaja, bukan di masjid atau surau.

Mohd Fared  berkata jenazah suspek perlu dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan jawatankuasa, dengan kedudukan kubur berjauhan dari liang lahad penghuni kubur yang lain.

Beliau berkata langkah itu, sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara seperti yang dilakukan suspek.

“Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, lebih-lebih lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek,” katanya.

Terdahulu, jenazah suspek dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di sini hari ini dengan dihadiri beberapa penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi Jumaat itu, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

Pada Sabtu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata suspek yang terbunuh dalam serangan itu dipercayai bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan – Alhijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading