LAPOR PIHAK GUNAKAN MASJID, SURAU UNTUK CERAMAH POLITIK

NOH-OMAR-2

SABAK BERNAM, 3 Jun – Orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pihak tertentu yang menggunakan masjid dan surau untuk menyampaikan ceramah politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata ia bagi memastikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pihak masjid dan surau tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan sebagai ceramah politik, dipatuhi semua pihak.

“Sepanjang tempoh kempen dalam bulan Ramadan ini, tidak bolehlah guna masjid dan surau untuk berkempen, semua pihak perlu patuhi titah Sultan Selangor termasuk juga UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan Sungai Besar di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Noh berkata penceramah dan pendakwah yang tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga tidak sepatutnya dibenarkan untuk menyampaikan tazkirah.

Sultan Selangor baru-baru ini mengingatkan semua masjid dan surau di negeri ini supaya tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat tarawih. Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Haris yang dipetik sebuah akhbar berkata baginda melarang isi kandungan tazkirah menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam masyarakat.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu diadakan pada 18 Jun, manakala penamaan calon ditetapkan pada Ahad ini.

BERNAMA

Leave a Reply