PELAJAR PHD USIM DUDUKI UJIAN KELAYAKAN BAWAH KHEMAH, DIKELILINGI RUNTUHAN DI GAZA

SEREMBAN: Berdepan kesukaran termasuk kampung halaman musnah angkara kekejaman Israel, tidak mematahkan semangat mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdallah Abuajwa, 40, untuk menduduki ujian kelayakan secara dalam talian dari Utara Gaza, Palestin sehingga berjaya lulus, semalam.

Menerusi rakaman video dikongsikan USIM, Abdallah dilihat berpakaian kemas dan berada di bawah sebuah khemah dalam kawasan terbuka, dikelilingi runtuhan bangunan bagi menduduki ujian tersebut.

Warga Palestin yang merupakan pelajar program Ijazah Kedoktoran Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu nekad menjalani ujian berkenaan meskipun berdepan risiko dibom tentera Zionis pada bila-bila masa. 

Pada akhir sesi ujian itu, Abdallah melahirkan rasa terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaan diketuai Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.

“Saya akan meneruskan pengajian sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya. Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan saya akan terus berdoa supaya Allah SWT memberikan saya ilmu bermanfaat untuk agama dan Palestin,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan USIM di sini hari ini.

Menurut Abdallah, walaupun infrastuktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Gaza musnah, beliau berjaya mendapatkan isyarat Internet, selain menggunakan sel solar bagi sumber elektrik untuk memastikan komputer riba dan telefon bimbitnya terus berfungsi. 

Abdallah menjalankan kajian berkaitan impak kepimpinan digital terhadap pengurusan perubahan di institusi pengajian tinggi di Palestin.

Sementara itu, penyelia utamanya Ali Nasser melahirkan kekaguman dengan kecekalan Abdallah yang lulus ujian kelayakan tersebut dengan pembetulan, sekali gus membolehkan beliau yang kini berada di semester tujuh meneruskan pengajian dan menamatkan PhD.

“Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan selain masalah kesihatan anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu Cerebral Atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza.

“Walaupun ia mengganggu dan melambatkan pengajian PhD beliau, Abdallah tetap ingin meneruskan pembelajarannya,” katanya.

Menurut USIM, isteri Abdallah dan tiga anaknya kini berada di Selatan Gaza manakala Abdallah bersama seorang anaknya berada di Utara Gaza.

Kediaman dan kenderaan beliau di Utara Gaza musnah dan ramai saudara-maranya terkorban dalam serangan rejim Israel sejak Oktober tahun lepas.–AlHijrah Online

Leave a Reply