ALHIJRAH ONLINE

PKPB DI KLANG, SANDAKAN, PAPAR, DAN TUARAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini umum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor serta Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan itu susulan peningkatan kes di kawasan terlibat yang kini telah diklasifikasikan sebagai zon merah.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan situasi di beberapa kawasan yang baru diklasifikasikan sebagai zon merah di Sabah dan Selangor kerana mempunyai lebih 40 kes positif COVID-19. Kawasan-kawasan tersebut adalah Sandakan, Papar, Tuaran serta di Klang.

“Melihat kepada peningkatan kes COVID-19 di kawasan-kawasan tersebut, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB bermula 9 Oktober 2020,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Ismail Sabri pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Tambahnya pergerakan keluar masuk di ke empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan kecuali melibatkan perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan. 

Ujangnya lagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut.

Menurut Ismail Sabri antara SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPB adalah seperti berikut:

Katanya bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat. 

Penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Exit mobile version