ARAHAN ‘KERJA DARI RUMAH’ KEKAL DI KAWASAN PKPB – ISMAIL SABRI

‘Kerja dari Rumah’ juga kini kelaziman baharu yang perlu diamalkan.
Imej: AFP

PUTRAJAYA: Arahan kerja dari rumah atau Work from Home masih kekal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan kawasan-kawasan yang diisytihar zon merah ekoran bilangan kes positif COVID-19 yang tinggi.

“Bagi negeri-negeri lain yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan)
Salah satu kebiasaan ‘Kerja dari Rumah’ adalah mengadakan mesyuarat secara dalam talian.
Imej: AFP

Kerajaan 22 Oktober lalu mengeluarkan arahan bekerja dari rumah bagi mereka yang berada di peringkat pengawasan dan pengurusan bagi kedua-dua sektor, awam dan swasta.

Sektor swasta yang terlibat dengan polisi berkenaan adalah dari industri yang tersenarai dalam senarai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia membabitkan negeri-negeri seperti Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang melibatkan 800,000 pekerja di pelbagai industri serta hampir 201,000 penjawat awam.

Arahan itu kemudiannya terpakai ke hampir seluruh negara ekoran penguatkuasaan PKPB susulan kes COVID-19 yang meningkat.- AlHijrah Online

Leave a Reply