POLIS MARIN RAMPAS RM453,000 ROKOK SELUDUP

ALOR SETAR: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi berjaya merampas 101,380 batang rokok pelbagai jenama yang bernilai RM93,580 dalam enam buah van di Jalan Dato Kumbar, Alor Star kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Risikan Marin ke atas salah sebuah kenderaan terbabit menemui sejumlah karton rokok yang diletakkan di bahagian but belakang van.

Dalam serbuan terbabit, turut ditahan dua lelaki berumur 45 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat untuk menjaga van tersebut bagi membantu siasatan.

Susulan itu, pasukannya bertindak memeriksa kesemua enam buah van dan menemui sebanyak 101,380 batang rokok pelbagai jenama.

Pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati semua rokok terbabit disyaki tiada cukai kastam dan dipercayai ingin diseludup ke pasaran tempatan.

Hasil siasatan mendapati stor penyimpanan rokok seludup ini berpusat di Pulau Pinang dan menjadi pembekal untuk kawasan utara semenanjung.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk enam buah van berserta nilai cukai rokok dianggarkan sebanyak RM453,580.

Van terbabit beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Kedah untuk tujuan pendokumentasian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kes kemudianya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.—AlHijrah Online

Leave a Reply