KOS UMRAH BAWAH RM5,000 TIDAK RELEVAN – PAPUH

Arab Saudi telah membuka kota suci Makkah dan Madinah untuk jemaah umrah dalam dan luar negara itu.
Imej: Abdel Ghani BASHIR / AFP

KUALA LUMPUR: Umat Islam diminta berwaspada dengan pengiklanan pakej umrah di bawah RM5,000 dan yang meragukan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, harga berkenaan adalah langsung tidak munasabah, malah tidak logik ekoran peningkatan kos yang ketara ketika dunia diancam virus COVID-19.

“Yang meragukan kalau harga tu ikut harga lama RM4,000 lebih. Kita tahu sekarang kena buat swab, kuarantin di Saudi dan Malaysia, duduk hotel yang diiktiraf 4 atau 5 bintang. Satu bilik 2-3 orang. Ini semua faktor yang akan meninggikan harga. Dengan cukai nilai tambah (VAT) yang naik, cukai perbendaharaan naik, bagaimana harga pakej guna harga lama? Itu meragukan.”

Datuk Seri Razali Mohd Sham
Presiden PAPUH

Tambahnya, pakej umrah dijangka bermula dengan nilai RM7,000 selepas mengalami peningkatan harga sebanyak RM3,000 impak virus COVID-19, yang dijangka merangkumi bayaran cukai, pengangkutan, penginapan dan insurans.

Tambahnya, satu garis panduan mengenai iklan pakej umrah perlu dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mengelak kes penipuan umrah.

Umrah hanya dibenar dilaksanakan dalam tempoh tiga jam sahaja.
Imej: Bandar Al Dandani / AFP

Sementara itu, Razali turut meminta kelonggaran bagi membuka sempadan negara bagi tujuan umrah secara bersyarat, sebagai mana dilaksanakan di negara lain seperti Brunei, Pakistan dan Indonesia.

Pun begitu, ketika ini sempadan negara ditutup dan larangan keluar masuk dari dan ke Malaysia dikuatkuasakan.

Arab Saudi sudah menerima kedatangan jemaah umrah seluruh dunia namun dengan kuota tertentu bagi setiap negara dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – AlHijrah Online / Abdul Hakim Hasan

Leave a Reply