
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh terus memikul beban krisis pelarian Rohingya secara bersendirian walaupun negara ini sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan dalam menangani golongan yang ditindas.
Ketua Pusat Kajian Asia Barat, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahim Ahmad berkata, aspek keselamatan dan kebajikan rakyat tempatan perlu kekal menjadi keutamaan sesebuah negara berdaulat.
Menurut beliau, Malaysia telah memainkan peranan kemanusiaan dengan sebaik mungkin, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan penglibatan lebih aktif komuniti antarabangsa serta badan berkaitan termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Namun kita perlu ingat dalam konteks sebuah negara yang berdaulat, keselamatan dan kebajikan rakyat sendiri merupakan keutamaan nombor satu berbanding dengan kebajikan orang lain.
“Kita tidak boleh mengorbankan keselamatan domestik demi menutup kegagalan komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu lambakan pelarian Rohingya di Malaysia yang terus menjadi perhatian pelbagai pihak.
Menurut Dr Abdul Rahim, kemasukan pelarian tanpa dokumen yang sah boleh menimbulkan pelbagai cabaran termasuk risiko keselamatan, kewujudan penempatan haram serta tekanan terhadap sistem penguatkuasaan negara.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu memperkukuhkan pangkalan data serta pemantauan menyeluruh bagi memastikan keberadaan pelarian di negara ini dapat diurus secara lebih sistematik dan telus.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia perlu menghantar mesej yang jelas kepada negara ketiga dan UNHCR bahawa negara ini hanyalah destinasi transit, bukannya penempatan kekal bagi pelarian.
“Kita kena hantar satu mesej yang jelas kepada negara ketiga dan juga UNHCR bahawa Malaysia adalah negara transit sahaja.
“Negara ini tempat mereka singgah tetapi bukan negara destinasi mereka,” katanya.
Tambah beliau, negara-negara ketiga serta badan antarabangsa perlu mempercepatkan proses penempatan semula pelarian bagi memastikan tanggungjawab menangani krisis Rohingya dikongsi secara adil dan kolektif.
Katanya, isu tersebut tidak seharusnya terus bergantung kepada ihsan negara-negara transit semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama masyarakat antarabangsa bagi mencari penyelesaian yang mampan. — AlHijrah Online