KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Karak, Bentong, Pahang petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan nahas melibatkan sebuah kereta Honda City dan treler dengan empat mangsa itu maut di lokasi kejadian.
Mereka ialah pemandu kereta A. Halim Hasoon, 55; Rozita Buang, 58; Norbahyah A. Halim, 26, dan bayi perempuan Nayla Afya Aizat.
“Pemandu treler dilaporkan mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi.
Operasi dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Elektriksolar Janda Baik selain pihak LPT menyediakan sebuah jentera bagi mengangkat treler untuk memudahkan proses mengeluarkan mangsa.
Operasi tamat pada 6.33 petang dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, syarikat konsesi LPT AFA PRIME Bhd dalam kenyataan memaklumkan kemalangan menyebabkan lorong perlahan dan lorong kecemasan di lokasi kejadian ditutup sementara bagi membolehkan kerja menyelamat serta pengalihan kenderaan dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), dikesan mempunyai 15 rekod saman trafik.
Tambahnya, polis juga telah mengambil sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu bagi tujuan analisis toksikologi.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan kini sedang menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian kepala dan pinggul.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti punca kejadian secara keseluruhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.
Yahaya berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, treler membawa muatan habuk besi berkenaan menghempap kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun bersama tiga penumpang berusia antara setahun hingga 58 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di lokasi kejadian.
“Lori terbabit kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat esok,” katanya.–BERNAMA