
Pemandu treler yang menghempap sebuah kereta sehingga mengorbankan empat nyawa di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki berusia 40 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk ujian saringan air kencing, sejurus selesai rawatan di hospital.
“Keputusan ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan tangkapan telah dibuat ke atas pemandu terbabit kira-kira 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu lori berkenaan juga dikesan mempunyai 15 rekod saman trafik.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam itu, treler membawa muatan habuk besi menghempap kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun bersama tiga penumpang berusia antara setahun hingga 58 tahun.
Siasatan awal mendapati treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di lokasi kejadian.
Lori terbabit kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
Difahamkan, treler berkenaan turut terbakar ketika operasi mengalihkan kenderaan sedang dijalankan selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.–AlHijrah Online