
Foto: AFP
Selepas sekian lama tegang dan berulang kali menafikan sebarang rundingan, Iran akhirnya mengesahkan kesepakatan diplomatik besar dengan Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian yang bertujuan untuk menamatkan permusuhan kedua-dua negara ini dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya Jumaat ini.
Pengesahan rasmi daripada Tehran ini agak mengejutkan memandangkan Iran sebelum ini secara konsisten menepis sebarang kemungkinan untuk tunduk kepada tekanan luar.
Bagaimanapun, Langkah drastik ini disahkan sendiri Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, bersama laporan terperinci mengenai 14 perkara di dalam draf perjanjian.
Majlis menandatangani perjanjian penuh itu dilaporkan bakal berlangsung di Switzerland Jumaat ini.
Melalui draf yang didedahkan oleh media Iran, Tehran mengesahkan bahawa mereka bersetuju dengan syarat-syarat berikut
- Gencatan Senjata Serta-merta: Penghentian permusuhan secara kekal di semua barisan hadapan, termasuk konflik di Lubnan.
- Pembebasan Dana $24 Bilion: Pencairan aset Iran yang dibekukan bakal dilakukan dalam tempoh rundingan nuklear selama 60 hari.
- Penarikan Sekatan Laut: AS komited untuk menarik balik sepenuhnya sekatan maritim di pelabuhan Iran dalam masa 30 hari serta membuka semula Selat Hormuz.
- Imuniti Program Peluru Berpandu: Iran berjaya mendesak agar isu program peluru berpandu dan sokongan terhadap kumpulan penentang dikeluarkan sepenuhnya daripada agenda rundingan akan datang.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, menyambut baik berita ini dan menyifatkan pembukaan semula laluan maritim kritikal tersebut sebagai pencapaian utama pentadbirannya.
Di sebalik nada kemenangan itu, Trump turut melancarkan amaran keras sekiranya Tehran cuba melanggar pakatan dalam masa terdekat.
“Jika Iran gagal mencapai persetujuan yang memadai mengenai masa depan program nuklear mereka dalam beberapa minggu akan datang, saya tidak akan teragak-agak untuk melancarkan semula serangan tentera, atau menjadikan AS sebagai ‘penjaga Timur Tengah’ dengan syarat kita mengambil 20% daripada hasil pendapatan wilayah tersebut.”
Trump dengan bangganya mendakwa bahawa perjanjian ini akan memastikan Selat Hormuz menjadi laluan yang bebas tol secara kekal untuk pasaran global.– AlHijrah Online