Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BUKAN SEKADAR HARI RAYA BUKU, INI ANTARA KEJAYAAN PBAKL 2026 YANG WAJAR KITA HARGAI DAN PUJI

DALAM NEGARA

BUKAN SEKADAR HARI RAYA BUKU, INI ANTARA KEJAYAAN PBAKL 2026 YANG WAJAR KITA HARGAI DAN PUJI

PBAKL bukan sekadar pesta buku, tetapi sebuah ekosistem yang menghubungkan industri kreatif, budaya membaca dan jaringan perbukuan antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Setiap kali Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) melabuhkan tirainya, perhatian umum lazimnya tertumpu kepada jumlah pengunjung dan nilai jualan yang berjaya direkodkan. PBAKL 2026 kali ini mencipta pencapaian membanggakan apabila merekodkan kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran, meningkat hampir 300,000 orang berbanding tahun sebelumnya.

Angka tersebut sememangnya memberi gambaran tentang sambutan luar biasa masyarakat terhadap pesta buku terbesar negara. Namun, memandang angka sebagai kejayaan adalah pandangan yang senteng. PBAKL telah membuka ruang untuk melihat daripada perspektif yang lebih luas. Di sebalik jutaan pengunjung yang memenuhi ruang pameran, PBAKL kini berkembang sebagai sebuah ekosistem yang menghubungkan industri kreatif, budaya membaca dan jaringan perbukuan antarabangsa.

Perkembangan ini mencerminkan bahawa industri buku negara sedang bergerak seiring dengan perubahan semasa dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat berilmu.

Dunia perbukuan juga sebenarnya melibatkan rantaian yang jauh lebih besar daripada hubungan antara penerbit dan pembaca. Setiap naskhah yang berada di tangan masyarakat melalui proses yang panjang, bermula daripada penulis yang menghasilkan karya, ilustrator dan pereka grafik yang membentuk identiti visual, penyunting dan pembaca pruf yang memperkemas kandungan, syarikat percetakan yang menerbitkan naskhah serta penerbit yang menguruskan pemasaran dan pengedaran.

PBAKL 2026 memperlihatkan bagaimana keseluruhan rantaian ini berkembang apabila industri menerima sokongan masyarakat. Peningkatan hasil jualan yang dilaporkan oleh pempamer turut memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam ekosistem perbukuan.

Kesan tersebut turut dirasai tempiasnya oleh sektor lain seperti pengusaha makanan, pengangkutan, penginapan dan pelbagai perniagaan sokongan di sekitar lokasi penganjuran. Perkembangan ini memperlihatkan bahawa industri buku bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan budaya ilmu, malah menjadi sebahagian daripada ekonomi kreatif yang mampu menjana peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

PBAKL 2026 juga memberikan gambaran menarik tentang kedudukan buku dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Walaupun teknologi berkembang dengan begitu pesat, penerbitan ribuan judul baharu setiap tahun dan sambutan yang diterima menunjukkan minat masyarakat terhadap buku terus berkembang.

Lebih menggembirakan, majoriti pengunjung terdiri daripada golongan muda dan keluarga yang membawa anak-anak untuk mendekati dunia pembacaan. Situasi ini memperlihatkan bahawa buku dan teknologi mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat berpengetahuan.

Teknologi memudahkan penyebaran maklumat dan memperluas akses kepada ilmu, manakala buku menawarkan ruang untuk pembacaan yang lebih mendalam serta membina daya fikir, imaginasi dan kebijaksanaan. Perkembangan ini menunjukkan bahawa masa depan industri buku mempunyai potensi besar untuk berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Satu lagi perkembangan yang menarik perhatian ialah kemunculan ramai pemain industri baharu, khususnya dalam kalangan anak muda. Landskap perbukuan negara kini semakin meriah dengan penyertaan syarikat penerbitan baharu, penulis bebas dan usahawan kreatif yang membawa idea serta pendekatan yang segar.

Kehadiran generasi baharu ini memberi suntikan tenaga kepada industri dan membuka lebih banyak peluang untuk inovasi dalam penerbitan serta pemasaran. Pada masa yang sama, ia memperlihatkan bahawa industri buku terus menjadi bidang yang mampu menarik minat golongan muda untuk berkarya dan membina kerjaya.

Transformasi digital yang diperkenalkan melalui PBAKL 2026 turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan perkembangan industri perbukuan negara. Pelaksanaan Sistem Tempahan Automasi Reruai, platform mall.bookcapital.com.my dan pembangunan Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca mencerminkan usaha untuk membina sebuah ekosistem yang lebih moden, inklusif dan mudah diakses.

Penggunaan teknologi ini membuka peluang pasaran yang lebih luas, memudahkan akses kepada bahan bacaan dan membantu memahami corak pembacaan masyarakat bagi menyokong pembangunan dasar berkaitan literasi dan perbukuan.

Cadangan untuk meneruskan konsep pesta buku hibrid juga seiring dengan usaha memperluas akses kepada masyarakat di seluruh negara. Pendekatan ini membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat pesta buku tanpa dibatasi oleh faktor lokasi, sekali gus menyokong agenda pendemokrasian ilmu.

Dalam aspek pengantarabangsaan, PBAKL 2026 turut memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri perbukuan global. Penyertaan 23 negara merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan, manakala pavilion antarabangsa seperti Arab Saudi dan China menampilkan buku sebagai medium pertukaran budaya dan tamadun.

Asian Rights Fair yang berlangsung sempena PBAKL 2026 pula merekodkan 800 sesi padanan perniagaan dalam tempoh tiga hari, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang penerbitan dan perdagangan hak cipta.

Perkembangan ini turut disokong oleh tempahan 13,000 naskhah buku Malaysia oleh syarikat dari China dengan tambahan 8,000 naskhah lagi yang sedang diproses. Pencapaian ini memberi petunjuk bahawa karya tempatan semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa dan berpotensi menjadi medium yang memperkenalkan budaya serta pemikiran Malaysia kepada masyarakat dunia.

Pada masa sama, pelaksanaan Baucar Buku MADANI dan pelbagai inisiatif berkaitan terus menyokong usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Inisiatif seperti ini membantu memperluas akses kepada bahan bacaan dan memperkukuh ekosistem industri buku secara menyeluruh.

Kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi sememangnya menjadi antara penanda aras pembangunan negara. Dalam masa yang sama, usaha memperkukuh literasi dan budaya membaca turut memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang berpengetahuan serta berfikiran kritis.

Atas sebab itu, PBAKL berkembang sebagai ruang yang mempertemukan masyarakat dengan ilmu, penulis dengan pembaca, industri dengan teknologi serta Malaysia dengan komuniti perbukuan antarabangsa.

PBAKL 2026 berjaya membuka lembaran baharu kepada industri buku negara. Pertambahan penyertaan antarabangsa, kemunculan pemain industri baharu dan peningkatan jumlah pengunjung memberikan asas yang kukuh untuk terus memperkasa sektor ini pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, kejayaan hari raya buku ini terletak pada keupayaannya menghimpunkan pelbagai elemen penting dalam satu ekosistem yang saling melengkapi. Ekonomi, karya kreatif, teknologi, budaya membaca dan jaringan antarabangsa bergerak seiring untuk memperkukuh industri perbukuan negara. PBAKL 2026 memperlihatkan bagaimana sebuah platform ilmu mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat, memperluas pengaruh budaya Malaysia dan membentuk masa depan industri buku yang lebih dinamik dan berdaya saing. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading