TIDAK BOLEH BERPOLITIK, SEBAR PROPAGANDA DI MASJID, SURAU, SEKOLAH BAWAH JAIS

Gambar hiasan. Sumber: BERNAMA

SHAH ALAM: Masjid, surau dan sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dibenarkan untuk dijadikan tempat berpolitik atau propaganda politik kepartian.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, semua penjawat awam di bawah seliaan JAIS, para pegawai masjid dan surau, guru termasuklah Penolong Pendaftar Perkahwinan, diingatkan untuk mengambil sikap profesional dan mematuhi ketetapan serta arahan yang dibuat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“JAIS ingin mengingatkan bahawa titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketetapan MAIS berhubung perkara ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik kepartian,” katanya dalam kenyataannya hai ini.

JAIS menambah, pihaknya boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat individu yang melakukan pelanggaran ketetapan tersebut.

Tindakan boleh diambil dengan merujuk kepada Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan Dan Penamatan Tauliah Pendaftar Dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Dan Ruju’ Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006.—AlHijrah Online

Leave a Reply