YDP PIBG TAMPIL JELASKAN MURID OKU ‘SERET LUTUT’ DI KAWASAN SEKOLAH

KUALA LUMPUR: Susulan tular video murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang didakwa diabaikan guru hingga terpaksa berjalan menggunakan lutut yang dirakam oleh ibunya, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tampil memberi penjelasan.

Menerusi komen melalui akaun Jeehan Adam, pelajar tersebut teruja dengan kedatangan ibunya ke sekolah dan bertindak keluar dari kelas untuk menunjukkan persekitaran sekolah kepada ibunya.

“Si anak sangat excited apabila si ibu datang. Dari dalam kelas terus keluar untuk tunjukkan kepada si ibu kantin sekolah dan kawan-kawan di situ.

“Anak tersebut baru sahaja bersekolah di situ. Untuk pengetahuan semua, sekolah tersebut adalah antara sekolah terbaik dalam mendidik murid PPKI,” katanya.

Jelas Jeehan, guru-guru di sekolah tersebut sangat menjaga kebajikan murid-murid, namun wujud salah faham melalui video yang telah tular.

“Guru-guru bukan sahaja perlu menjawab di hadapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), malah netizen juga tidak kurang memaki hamun.

“Tidak adil sekiranya netizen tidak menyiasat cerita sebenar. Saya mohon semua pihak faham dan berhenti mengecam,” tambahnya.

Sementara itu, Jeehan memuat naik tangkap layar perbualan salah seorang guru di sekolah tersebut yang turut memberikan penjelasan berhubung kejadian itu.

Guru tersebut memaklumkan bahawa murid berkenaan telah menolak pelawaan guru untuk berjalan menggunakan ‘walker’.

“Dia memang beberapa kali menolak apabila saya beri stand walker dan menolak apabila cikgu serta Pembantu Pengurusan Murid (PPM) mahu memegangnya. Namun, kami memang biasa mengiringi dia dan semua murid ke belakang pada waktu rehat.

“Ketika kejadian, Hanan seorang diri kerana PPM sedang menyusun makanan di situ dan belum bersedia untuk murid. Itu sebab Hanan berjalan seorang diri dan tiada PPM serta pelajar lain,” katanya.

Tambah Jeehan, beliau amat berharap orang ramai dapat mengetahui perkara sebenar dan tidak terus mengecam pihak sekolah. — AlHijrah Online

Leave a Reply