BERI PELUANG GOLONGAN OKU RASAI PENGALAMAN TUNAI UMRAH – MENTERI AGAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat pengendali umrah di Malaysia digalakkan untuk memberikan peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk merasai pengalaman menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tersentuh dengan tindakan syarikat Andalusia Travel & Tours yang menaja 30 orang jemaah umrah OKU Penglihatan untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Amat tersentuh hati kita semua, saat menatap sahabat-sahabat OKU Penglihatan berada di hadapan Baitullah, menunaikan ibadat tawaf dan umrah. Semoga Allah menerima segala amalan dan semua doa dikabulkan.

“Moga terkabul segala hajat sahabat-sahabat OKU Penglihatan menunaikan ibadat umrah dan ziarah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu Mohd Na’im berharap agar syarikat pengendali jemaah umrah lain boleh menjadikan sebagai contoh untuk melakukan perkara sedemikian.

Terdahulu tular rakaman video oleh syarikat Andalusia Travel & Tours memaparkan sekumpulan jemaah OKU penglihatan sedang menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram.—AlHijrah Online

Leave a Reply