KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong perlu membuat aduan atau laporan rasmi ke Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan kadar segera.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kira-kira 300 bakal haji yang terkandas perlu melaporkan kejadian tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“TH akan bekerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada para jemaah haji yang terkandas akibat terperdaya dengan tawaran pakej haji.
“Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci untuk akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persedian musim haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya mengulas, peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah haji ketika musim haji.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan TH menyiasat dan meneliti kes membabitkan 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah.
Katanya pihaknya bersimpati dan mengambil maklum kejadian yang menimpa semua mangsa ketika ini.
Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.—AlHijrah Online