
Negara Haram Israel: Sebuah video dimuat naik Menteri Keselamatan Negara Haram Israel, Itamar Ben Gvir, di media sosial mencetuskan kemarahan umat Islam apabila beliau dilihat bertegas mahu menamatkan laungan azan menggunakan pembesar suara di wilayah Palestin yang dijajah.
Tindakan itu disifatkan sebagai cubaan menghapuskan identiti Islam di Palestin serta menghina kesucian azan yang merupakan syiar penting dalam agama Islam.
Dalam video berkenaan, Ben Gvir mempertahankan usaha untuk menghentikan syiar Islam daripada terus dilaungkan menggunakan pembesar suara masjid.
Pada Ahad, Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan Israel meluluskan rang undang-undang berkaitan azan yang dikemukakan Ben Gvir bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Zvika Fogel.
Rang undang-undang itu menetapkan bahawa sebarang sistem pembesar suara di masjid tidak boleh dipasang atau digunakan tanpa permit khas, yang hanya akan diberikan berdasarkan beberapa syarat termasuk tahap bunyi yang dihasilkan dan jarak masjid dari kawasan perumahan.
Di bawah cadangan tersebut, pemasangan atau penggunaan pembesar suara akan dilarang secara automatik sekiranya permit tidak diperoleh terlebih dahulu.
Kelulusan permit pula bergantung kepada beberapa faktor yang ditetapkan pihak berkuasa Israel, termasuk tahap kelantangan, langkah pengurangan bunyi, lokasi masjid, jaraknya dengan kawasan kediaman serta kesannya terhadap penduduk sekitar.
Polis Israel juga akan diberikan kuasa mengarahkan penggunaan pembesar suara dihentikan serta-merta jika syarat permit dilanggar, manakala pelanggaran berterusan boleh menyebabkan peralatan dirampas.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan denda sehingga 50,000 shekel (kira-kira AS$17,719) bagi penggunaan pembesar suara tanpa permit dan 10,000 shekel (AS$3,545) bagi pelanggaran syarat permit.
Walaupun telah mendapat sokongan Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan, rang undang-undang tersebut masih perlu diluluskan oleh Knesset sebelum boleh dikuatkuasakan. Setakat ini, tarikh pengundian belum ditetapkan. — AlHijrah Online