
Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan berangkat menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Dataran Pahlawan Negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 8.45 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku serta 21 das tembakan kehormatan yang dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa perbarisan kehormatan yang melibatkan 25 pegawai dan 510 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perbarisan itu diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom.
Istiadat yang bermula seawal jam 7.50 pagi berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dengan hujan renyai serta suhu sekitar 26 darjah Celsius.
Majlis turut menampilkan persembahan gabungan Pancaragam Pusat ATM yang dipimpin Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya menerusi alunan beberapa lagu patriotik sepanjang acara berlangsung. — AlHijrah Online