MASYARAKAT BUKAN ISLAM SERTAI AGIHAN BUBUR LAMBUK UNTUK RASAI KEMERIAHAN RAMADAN

KUANTAN: Agihan bubur lambuk sebagai juadah berbuka cukup sinonim pada bulan Ramadan dan menjadi tradisi setiap tahun di seluruh negara.

Konsep bersedekah itu banyak kelebihan di bulan Ramadan dan merupakan antara alat yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat.

Mahu merasai pengalaman agihan bubur lambuk, pelajar dan pensyarah bukan Islam di University College of Yayasan Pahang (UCYP) semalam menyertai aktiviti edaran juadah iftar itu di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan 

Sejumlah 1,500 pek bubur lambur disediakan Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, YP Plantation Holdings dan KYP Education Sdn Bhd.

Salah seorang pelajar, S. Maheswaran berkata, dia kali pertama menyertai program seumpama itu dan ia memberikannya pengalaman baru selain turut gembira  melihat senyuman dan ucapan terima kasih mereka yang berpuasa.

Konsep agihan bubur lambuk juga mengajarnya sikap saling prihatin dan berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Ini kali pertama saya menyertai program seperti ini dan dapat merasai kemeriahan rakan-rakan beragama Islam berpuasa dan menyambut bulan Ramadan.

“Program seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan antara kaum dan saya merasa seronok dengan program anjuran YP,” katanya.

Sementara itu, Pengarah UCYP, Ng Loo Ee yang julung kali menyertai program tersebut berkata, tradisi edaran bubur lambuk ini merupakan tradisi umat Islam yang patut dicontohi.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dan dapat lihat ramai golongan yang memerlukan datang untuk mengambil bubur lambuk dan ia melahirkan rasa belas kasihan.

“Program seperti ini dapat mendekatkan pelajar dengan masyarakat yang kurang berkemampuan,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply