MISI PELAYARAN KE GAZA DITANGGUHKAN BERIKUTAN TEKANAN REJIM ZIONIS – FFC

Foto – AFP

ISTANBUL: Misi pelayaran  “Break The Siege: Mission To Gaza 2024” yang dirancang untuk berlepas pada Jumaat (26 April)  akan ditangguhkan lagi , berikutan tekanan dari rejim Zionis supaya lesen pendaftaran sebuah kapal utama dalam misi itu, Akdeniz ditarik balik, dakwa  Freedom Flotilla Coalition (FFC).

“Freedom Flotilla sedia untuk belayar.  Kesemua dokumen diperlukan telah dihantar kepada lembaga pelabuhan dan kargo telah dimuatkan dan sedia untuk pelayaran ke Gaza,” kata FFC dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, FFC berkata ia dimaklumkan bahawa terdapat sekatan pentadbiran yang dimulakan Israel untuk menghalangnya daripada berlepas.

Ïsrael sedang memberi tekanan kepada Republik Guinea Bissau supaya menarik balik pendaftaran atau lesen daripada kapal utama kami – Akdeniz (Mediterranean). Ini mencetuskan satu permintaan untuk pemeriksaan tambahan, ini dari negara kapal itu didaftarkan, yang menangguhkan pelayaran pada 26 April seperti yang dirancang,” katanya.

FFC berkata ini adalah satu lagi contoh Israel menghalang penghantaran bantuan untuk menyelamatkan nyawa kepada penduduk Gaza yang menghadapi kebuluran terancang.   

“Berapa ramai lagi kanak-kanak akan mati kerana mulnutrisi dan penyahhidratan disebabkan penangguhan ini dan kepungan berterusan yang perlu dipecahkan?,”soal FFC.

FFC berkata ini bukan kali pertama Israel menggunakan taktik sebegini untuk menghalang kapal-kapal ini daripada belayar.

“Kami pernah mengatasi taktik mereka sebelum ini dan bekerja keras untuk menyelesaikan percubaan terbaharu mereka. Kapal kami sudah memenuhi pemeriksaan yang diperlukan dan kami yakin Akdeniz akan lulus pemeriksaan ini jika tiada campur tangan politik. 

“Kami menjangkakan ini akan mengambil masa beberapa hari.  Israel tidak akan mematahkan semangat kami untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza,” kata FFC.

Terkini, 18 warga Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan menaiki flotila berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga  wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.

Tarikh pelayaran asal pada 21 April. Ia kemudian ditunda dua kali kepada 24 April dan 26 April. — AlHijrah Online

Leave a Reply