SEMBUNYI DALAM TANGKI AIR, LEMPAR PARANG ANTARA TAKTIK WARGA ASING ELAK DITAHAN

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bersembunyi di dalam tangki air, lempar parang dari tingkat atas bangunan dan memanjat bumbung antara taktik warga asing untuk mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Bagaimanapun, taktik berkenaan gagal apabila sebanyak 150 warga asing ditahan dalam Ops Kutip yang dilaksanakan di sebuah pangsapuri di Selayang dan penempatan haram warga asing di Jalan Klang Lama, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Lokman Effendi Ramli berkata serbuan pertama dijalankan dari 12.30 tengah malam hingga 2 pagi di Selayang, melibatkan 52 pegawai imigresen hasil risikan selama dua minggu serta aduan orang awam.

“Dalam operasi itu, 326 individu diperiksa dan 79 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka terdiri daripada warga Indonesia (18 lelaki, 21 perempuan), Nepal (10 lelaki), India (dua lelaki), Bangladesh (24 lelaki, seorang perempuan), Pakistan (masing-masing seorang lelaki dan perempuan) dan Myanmar (seorang lelaki) dalam lingkungan umur  17 hingga 55 tahun,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan,” katanya.

Menurut Lokman Effendi, mereka yang ditahan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai pengawal keselamatan, pembantu kedai makan, pembantu dobi, penjaga kedai runcit dan pekerja tapak pembinaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati unit kediaman dengan tiga bilik disewa kira-kira RM600 seunit dan dihuni secara beramai-ramai antara lima hingga lebih enam orang, sekali gus menyebabkan isu kebersihan, bau tidak menyenangkan serta berpotensi mengundang masalah kesihatan dan sosial.

Serbuan kedua pula dijalankan di penempatan haram warga asing di Jalan Klang Lama dari 2.30 pagi hingga 3.30 pagi hasil risikan selama seminggu.

“Dalam operasi ini, sebanyak 71 warga asing ditahan, terdiri daripada Indonesia (33 lelaki, 33 perempuan), Myanmar (2 lelaki, seorang perempuan), masing-masing seorang lelaki India dan Pakistan,” katanya.

Pemerhatian Bernama mendapati penempatan haram berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan asas, namun penghuni dipercayai menyewa ‘atas angin’ tanpa mengenali pemilik tanah sebenar, selain tiada sambungan elektrik yang sah dan menggunakan sambungan haram daripada sumber berdekatan.

Dalam pada itu, Lokman Effendi menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang imigresen akan dilaksanakan di ibu negara secara menyeluruh ke atas semua pihak tanpa kompromi demi menjaga kedaulatan negara.

“Penguatkuasaan akan dijalankan ke atas pendatang tanpa izin dan juga majikan yang menggajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Turut hadir pada operasi itu ialah Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.–AlHijrah Online

Leave a Reply