JAKIM SAMBUT BAIK HASRAT KERAJAAN PENDEKKAN TEMPOH PROSES PENSIJILAN HALAL

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembentangan Bajet 2024.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata penilaian dan kajian terperinci dilakukan oleh JAKIM dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah implementasi yang bersesuaian dengan hasrat tersebut dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat pra pensijilan sehingga pasca pensijilan halal.

“Bagi menggerakkan usaha strategik demi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik, sejak Januari 2023, JAKIM telah melaksanakan Bussiness Process Reengineering (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal Malaysia. 

“Melalui BPR yang dilaksanakan, JAKIM berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Hakimah memaklumkan, bermula 1 Januari 2023 hingga 30 September 2023, JAKIM  menerima sebanyak 2664 permohonan sijil halal dan 90 peratus daripadanya telah selesai diuruskan manakala baki sedang diproses.

Data itu katanya menunjukkan bahawa ISPHM 2.0 yang dilaksanakan di peringkat JAKIM benar-benar mencerminkan komitmen JAKIM untuk memperkasa pensijilan halal Malaysia dan menambahbaik tatakelola pengendalian pengurusan pensijilan halal dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pihak industri dan pengguna amnya.

“JAKIM turut menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuatkuasa. 

“Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan yang diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan,” katanya.

Di samping itu, JAKIM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang berusaha untuk menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa. 

JAKIM mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan SPHM.

“Bagi memastikan segala inisiatif yang digerakkan dapat dilaksanakan dengan berkesan maka, JAKIM ingin menarik perhatian semua industri untuk sentiasa memastikan kesediaan yang lebih baik ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri sebelum mengemukakan permohonan halal. 

“JAKIM juga akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tatakelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambahbaik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju halal global,” katanya.

Dalam pada itu JAKIM memperakui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Rakyat bahawa kekangan sumber manusia turut menjadi cabaran bagi JAKIM mempertingkatkan prestasi pengurusan pensijilan halal.

Oleh itu JAKIM amat mengalu-alukan dan menyambut baik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan sumber manusia di Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM bagi memperkemaskan pengurusan pensijilan halal Malaysia. 

Selain itu melalui Jawatankuasa Teknikal Pemandu Halal Malaysia, cadangan berkenaan tatakelola halal akan diperhalusi sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan pengurusan halal diurus secara cekap dan proaktif dapat dilaksanakan. — AlHijrah Online

Leave a Reply