POLIS KESAN TIGA LELAKI BALING CAT MERAH KE KEDAI NASI KANDAR

BUKIT MERTAJAM: Polis giat mengesan tiga lelaki disyaki membaling cat merah ke sebuah kedai makan di Taman Machang Bubok di sini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata tiga lelaki terbabit yang menaiki dua motosikal bertindak demikian kira-kira 3 pagi pada Khamis lepas.

Beliau berkata ketika kejadian kedai dua tingkat itu belum beroperasi dan dijadual dibuka bermula hari ini.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan  orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 63 saat yang memaparkan tiga lelaki menaiki dua motosikal membaling cat merah ke sebuah kedai nasi kandar.–AlHijrah Online

Leave a Reply