ROHINGYA: BANTU ATAU BANTAI?

Nampaknya sentimen anti-Rohingya amat menebal dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di media sosial.

Ia terlalu tebal hinggakan individu tidak pernah bersemuka atau berurusan dengan etnik yang berasal dari Myanmar itu, turut sama memukul gendang anti-Rohingya.

Pelarian atau pendatang, mereka harus dihantar pulang! Mereka mahu hak sama rata, jumlah mereka terlalu banyak, nanti mereka akan ambill hak kita. Begitulah sentimen yang menanah di media sosial ketika ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan media sosial, khususnya Facebook (FB) kini menjadi ‘senjata ampuh’ bagi pihak berkepentingan mencipta persepsi untuk membantu atau membantai etnik tanpa negara itu.

Penularan maklumat, tidak kira benar atau palsu, mudah untuk dilakukan melalui medium komunikasi yang tidak dikawal itu dan lebih menyulitkan apabila wujudnya fenomena berlumba-lumba menjadi individu pertama menyampaikan khabar.

Buruk atau baik, benar atau palsu, itu belakang kira. Yang penting semua orang mahu menjadi yang pertama untuk share (menyampaikan) maklumat.

Data percuma 1G setiap hari ehsan syarikat telekomunikasi ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, menjadi peluru percuma di perbatasan dunia maya.

Barangkali inilah harga sebuah kebebasan. Kita boleh menghukum sesuatu bangsa dengan hanya berpandukan maklumat yang ditularkan media sosial tanpa usul periksa kesahihannya.

Berbalik pada isu Rohingya, ia dikatakan bermula di laut pada 16 April lalu apabila pihak berkuasa negara menghalang kemasukan sebuah kapal yang sarat dengan pelarian Rohingya berdekatan dengan Langkawi.

Dilaporkan, pihak berkuasa memintas kapal itu sebelum mengarahkannya menukar haluan kembali ke Laut Andaman selepas pelarian (baca pendatang asing tanpa izin) Rohingya di atas kapal itu dibekalkan dengan makanan.

Sehari sebelum itu, agensi berita antarabangsa melaporkan Pengawal Pantai Bangladesh memintas sebuah kapal pukat tunda yang sarat dengan pelarian Rohingya yang didakwa mangsa terselamat. Bot itu dikatakan terkandas di Teluk Benggala lebih dua bulan selepas dihalang masuk perairan Malaysia.

Dilaporkan 60 etnik Rohingya maut dalam bot yang sarat dengan ratusan orang itu dan “mayat mereka dibuang ke laut”.

Bertitik tolak dari insiden itu, timbul dakwaan negatif terhadap tindakan pihak berkuasa Malaysia menghalang kapal itu dari memasuki perairan negara ketika kita turut berdepan ancaman pandemik wabak COVID-19.

Persoalannya, adakah Malaysia tidak berhati perut dalam tindakan itu? Adakah tiada langsung sifat perikemanusiaan kita dalam menangani isu kapal yang sarat dengan ratusan pelarian dari Myanmar itu?

Penulis beranggapan adalah tidak adil jika tindakan itu dilihat dari satu perspektif semata-mata. Jika diperhalusi dari sudut kemanusiaan, sudah tentu tindakan pihak berkuasa kita disifatkan sebagai tidak wajar dengan mengambil kira nasib pelarian di atas kapal itu.

Namun harus diingat, ketika insiden itu berlaku, negara sedang berdepan dengan COVID-19 dengan kawalan sempadan diperketatkan di darat, laut dan udara.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil tindakan dalam ruang lingkup undang-undang yang ada.

Dari sudut menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara, majoriti menyifatkan tindakan pihak berkuasa adalah wajar pada saat genting itu.

“Dalam kaedah fiqah, (situasi itu) menilai mana yang lebih mudarat,” kata Pengkaji Al-Quran dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Abdullah Bukhari dalam perbincangan Analisis TV AlHijrah bertajuk ‘Etnik Rohingya: Kemanusiaan atau Keselamatan’ pada Rabu lalu.

Abdullah ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa menangani kemasukan pelarian (baca pendatang tanpa izin) Rohingya di sempadan perairan negara.

Salah satu daripada hujah kukuh kenapa kapal sarat dengan pelarian (baca pendatang asing tanpa izin) Rohingya itu dihalang masuk ke Malaysia kerana kita tidak mahu memberikan mesej yang salah kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh bahawa pintu sempadan negara masih terbuka luas.

Kebimbangan umum juga dikaitkan dengan risiko ancaman COVID-19 dari atas kapal itu.

Data Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) menunjukkan terdapat lebih sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh dengan 909,000 berada di Ukhiya dan Teknaf, Cox’s Bazar.

Daripada jumlah itu, seramai 626,500 pelarian Rohingya berada di Kem Kutupalong dan Balukhali yang juga kem pelarian terbesar di rantau Asia.

Tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan pelarian Rohingya disifatkan sebagai signal jelas kepada sindiket pemerdagangan manusia bahawa sempadan kini dikawal ketat.

Inilah harapan rakyat Malaysia kerana ‘kebocoran’ dan ‘pengkhianatan’ di sempadan adalah punca kenapa kita berada dalam keadaan tersepit ketika ini.

Sehingga Februari lalu, data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Malaysia merekodkan lebih 154,000 daripada 179,520 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar di Malaysia adalah dari Myanmar (etnik Chin, Karan, Mon, Rohingya dan Muslim Myanmar).

Daripada jumlah itu, seramai 101,580 adalah pelarian etnik Rohingya yang berasal dari wilayah Rakhine (Arakan), Myanmar.

Apa yang penulis ingin hujahkan ialah lebih 101,000 pelarian etnik Rohingya ini bukannya datang secara sekali gus, sebaliknya mereka tiba di negara ini dalam jumlah kecil sejak lebih 30 tahun lalu melalui pintu sempadan negara, khususnya jalan laut.

Ada juga pihak mendakwa mereka masuk ke Malaysia seawal 70-an sebelum Akta Kewarganegaraan 1982 yang melucutkan kerakyatan Rohingya sebagai warga negara Myanmar atas percaturan politik dan ekonomi junta Myamar.

Mana mungkin ratusan ribuan Rohingya ini diseludup masuk secara mudah ke Malaysia jika tiada ‘pembelotan’ pihak tertentu yang mengaut keuntungan melalui sindiket pemerdagangan manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata pelarian Rohingya yang bolos ke negara ini dikatakan membayar sehingga RM15,000 seorang kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia.

Jika penindasan dan keengganan Myanmar menerima rakyat mereka sendiri (Rohingya) menjadi punca utama krisis kemanusiaan etnik tanpa negara itu, maka permasalahan di sempadan kita juga adalah luka yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan ‘sakit’ ketika ini.

Pun begitu penulis tidak bersetuju dengan tindakan pihak tententu yang menjadikan aktivis kemanusiaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Rohingya sebagai “punching bag” dalam isu ini sehinggakan mereka diserang secara peribadi kerana mempertahankan kelompok pelarian itu.

Sekalipun, tidakan di laut itu dilihat wajar berdasarkan keadaan semasa, penulis berpandangan sentimen anti-Rohingya ketika ini tidak seharusnya berlaku apabila kebencian secara pukul rata disemai terhadap Rohingya.

Ketika ini, apa saja video tular di media sosial dan menampakkan individu yang kelihatan seperti Rohingya dikatakan Rohingya.

Sedangkan kita tidak tahupun membezakan antara etnik Rohingya, Benggali (Bangladesh) dan Muslim Myanmar. (Perihal siapa dan kehidupan Rohingya di Myanmar dan Bangladesh serta perbezaan budaya dengan orang Malaysia akan penulis kupas dalam artikel berasingan)

Sentimen anti-Rohingya itu bermula dengan posting dari beberapa page di Facebook yang menyebarkan dakwaan kononnya Rohingya menuntut hak sama rata. Posting ini juga dikaitkan dengan insiden kapal Rohingya yang dihalang masuk ke perairan Malaysia.

Dakwaan itu cepat membakar sentimen rakyat Malaysia yang sememangnya tertekan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mungkin menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan pandangan, perasaan dan ketidakpuasan dalam banyak perkara.

Adakah kebencian terhadap etnik Rohingya bentuk manifestasi keadaan psikologi rakyat yang terpaksa bertahan di bawah tekanan PKP dengan sebahagian besar kehilangan pekerjaan akibat kekangan aktiviti ekonomi sejak 18 Mac lalu?

Dakwaan kononnya Rohingya menuntut hak sama rata dengan menjadikan sepucuk surat dari seorang ketua pertubuhan Rohingya di Malaysia tular dengan pantas sehinggalah ada pihak membuat petisyen supaya pelarian Rohingya dihantar pulang ke Myanmar.

Petisyen itu mendapat sokongan 30,000 individu yang tidak berpuas hati dengan pelarian Rohingya atas sebab-sebab tertentu.

Carian penulis di media sosial sehingga hari ini tidak menemui posting asal yang mendakwa kononnya etnik Rohingya meminta hak sama rata dan mahu menjadi warga Malaysia.

Kebanyakan posting asal itu sudah dipadamkan, malah page Facebook yang sebelum ini membakar sentimen rakyat Malaysia turut dipadamkan. Lebih meragukan apabila tiada siapapun tahu pengendali page ini yang tentunya berselindung di sebalik ‘kebebasan identiti’ di media sosial.

Ini termasuklah page “32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya” yang sudah dipadamkan pengendalinya.

“Kehilangan” page yang dulunya menjadi bahan api kepada sentimen anti-Rohingya, termasuk petisyen menghantar pulang pelarian Rohingya yang mendapat 30,000 tandatangan yang sudah dipadamkan itu, menimbulkan persoalan adakah isu Rohingya ini sengaja dicetuskan pihak tertentu.

Jika benar ia usaha terancang, apakah natijah di sebalik komplot menjadikan etnik pelarian itu sebagai sasaran kebencian.

Penulis berharap pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi kerana sentimen anti-Rohingya itu mampu menggugat keamanan jika tidak ditangani dengan baik.

Fenomena anti-Rohingya yang meledak secara tiba-tiba ini sebenarnya amat membingungkan ramai pihak, termasuk penulis yang terbabit dalam liputan zon konflik dan bencana.

Ini kerana Malaysia sejak dari zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) hinggalah bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan kini di bawah Perikatan Nasional (PN) sentiasa konsisten membantu etnik yang berasal dari Myanmar itu.

Malah di rantau Asia, Malaysia dianggap sebagai juara dalam isu ini ketika Turki turut menikmati status yang sama membantu etnik tidak bernegara itu selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menghantar isterinya dan juga Menteri Luar Turki pada September 2017 untuk melihat situasi kebanjiran etnik Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh pada akhir Ogos tahun sama.

Ketika itu, lebih 400,000 pelarian Rohingya dari Maungdaw di utara Rakhine, Myanmar melarikan diri ke selatan Bangladesh selepas berlaku pembantaian ke atas mereka oleh tentera Myanmar.

Dilaporkan, etnik Rohingya dibunuh, perempuan mereka dirogol dan rumah mereka dibakar oleh tentera Myanmar dengan asap-asap kemusnahan boleh dilihat di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Ramai juga yang tidak tahu selepas Turki menghantar bantuan, Malaysia adalah negara pertama di Asia yang menghantar bantuan ke Cox’s Bazar juga pada September 2017 untuk membantu Bangladesh menangani krisis kemanusiaan itu akibat pembantaian Rohingya di barat Myanmar.

Sebelum itu di pentas antarabangsa Malaysia telah menggembelengkan usaha untuk menekan Myanmar supaya bertanggungjawab dalam krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya sejak 2012.

Misalnya, pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Persidangan Kerjasama Islam (OIC) pada 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia membangkitkan isu Rohingya secara jelas tetapi ia tidak mendapat kesepakatan anggota OIC melainkan sokongan segelintir negara seperti Turki, Arab Saudi, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

Kesemua negara yang menyokong Malaysia adalah negara yang terkesan secara langsung dalam konflik Rohingya kecuali Turki. Arab Saudi misalnya menjadi tempat perlindungan sekitar 200,000 pelarian Rohingya.

Malah pada Februari 2017, Malaysia melalui gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menghantar 2,300 tan bantuan makanan dan ubatan ke Myanmar dan Bangladesh melalui jalan laut untuk membantu menangani krisis kemanusiaan itu.

Melalui misi pelayaran “Food Flotilla ke Myanmar” lebih 200 sukarelawan, aktivis kemanusiaan dan pengamal media daripada 12 negara menghantar mesej solidariti bersama etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Penulis ketika itu mewakili Berita Harian/New Straits Times Press bertindak sebagai koordinator bagi lebih 20 wakil media, tempatan dan antarabangsa, yang mengikuti misi pelayaran kemanusiaan itu.

Penulis berpandangan misi yang menggabungkan sukarelawan dengan pelbagai latar belakang politik, ketika itu di antara UMNO dan PAS yang berseteru di pentas politik tetapi bersatu kerana isu kemanusiaan, adalah manifestasi komitmen Malaysia kepada pelarian Rohingya yang ditindas.

Pun begitu ada satu hakikat yang tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang iaitu Malaysia tidak pernah menerima atau menandatangani Konvensyen Geneva Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

Ini bermakna Malaysia tidak terikat untuk menyediakan ruang pekerjaan, akses pendidikan dan kesihatan kepada kelompok pelarian/pemohon suaka dalam kerangka undang-undang sah.

Ini menerangkan kenapa pelarian, termasuk etnik Rohingya, tidak diktiraf di Malaysia dan hanya dibantu atas dasar kemanusiaan dan mungkin juga atas dasar sentimen agama sebahagian rakyat negara ini.

Dari sudut undang-undang negara, pelarian ini diklasifikasikan sebagai pendatang asing tanpa izin dengan hak yang minimum.

Pun begitu pelarian yang telah tiba di negara ini tidak boleh dihantar pulang dengan sewenang-wenangnya sepertimana yang dituntut sebahagian warga Malaysia ketika ini.

Walaupun Malaysia tidak terikat untuk memberikan hak pekerjaan, akses kesihatan dan pendidikan kepada kelompok pendatang ini, etnik Rohingya tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar berdasarkan prinsip ‘non-refoulement’.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa itu, Malaysia sama sekali tidak boleh menghantar pulang pelarian ke tempat di mana berlaku penindasan ke atas kelompok pelarian itu.

Burma Human Right Network (BHRN) dalam kenyataannya pada 29 April lalu berkata, pertempuran masih berlaku di wilayah Rakhine.

Malah BHRN melaporkan pihak kerajaan turut menggunakan senjata berat dan helikopter untuk membedil kedudukan penentang.

“BHRN menerima laporan harian mengenai mengenai pertempuran antara Tentera Myanmar dan kumpulan penentang Arakan di kawasan awam. Penggunaan senjata berat di kawasan ini menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam,” kata Pengarah Eksekutif BHRN, Kyaw Win dalam kenyataannya kepada AlHijrah Online.

Penulis beranggapan penulisan individu tertentu kononnya keadaan sudah aman di Rakhine, Myanmar dan menyalahkan etnik Rohingya kerana tidak mahu pulang ke Myanmar adalah tidak berasas, dangkal dan berat sebelah.

Berbalik kepada sentimen anti-Rohingya ketika ini, penulis berpandangan ia bertitik tolak daripada pengalaman/permasalahan sosial di antara kelompok pelarian dan penduduk tempatan, khususnya di Selayang akibat perbezaan budaya bersulamkan isu peribadi pihak tertentu yang digembar-gemburkan di media sosial (baca Facebook).

Ini termasuklah isu perbalahan dan cabar-mencabar membabitkan individu etnik Rohingya di media sosial sehingga ia dilihat cuba mencabar penduduk tempatan.

Bagaimanapun, ada pihak sengaja membakar sentimen anti-pendatang itu di media sosial dengan memuatnaikkan rakaman visual dengan sebahagiannya memberikan gambaran palsu, termasuklah mengenai tuntutan Zafar Ahmad dari NGO, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM).

Jika diteliti secara rasional, permintaan empat perkara iaitu; kebenaran bekerja secara sah di sektor yang difikirkan sesuai, mewajibkan majikan mengambil insuran, memohon diskaun bayaran kesihatan dan memohon pelarian Rohingya tidak ditahan jika bekerja, bukanlah tuntutan hak sama rata.

Ia adalah tuntutan (baca permintaan) pelarian Rohingya yang sememangnya tidak diiktiraf hak mereka berdasarkan undang-undang negara. Hakikatnya, mereka boleh minta apa saja, tetapi ia terpulang kepada kerajaan dan rakyat Malaysia untuk memutuskannya.

Mengenai isu pendatang di pasar borong Selayang yang dikatakan kebal dari tindakan pihak berkuasa. Persoalannya, ini adalah undang-undang kita, yang menguatkuasakannya juga orang kita dan berlaku di negara kita, kenapa isu ini tidak boleh diselesaikan?

Pengkaji Budaya dan Sosiologi Rohingya, Dr Azlinariah Abdullah berkata adalah tidak adil untuk menghukum seluruh etnik Rohingya berdasarkan tindakan segelintir pihak.

“Mustahil mereka boleh ambil tempat orang tempatan untuk dominasi ekonomi,” katanya dalam temubual program Analisis, Rabu lalu sambil menjelaskan kajiannya menunjukkan Rohingya mahu pulang ke negara asal (Myanmar) apabila situasi sudah selamat.

Lebih 101,000 etnik Rohingya yang ada di Malaysia haruslah dilayan dengan bermaruah sebagai manusia yang juga berhak untuk hidup. Janganlah kita menghukum mereka kerana resam nila setitik (individu bermasalah), rosak susu sebelanga.

Bukan semua Rohingya berperangai seperti segelintir yang membuat onar di pasar borong Selayang.

Majoritinya amat terhutang budi atas belas ehsan rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa sejak sekian lamanya. Kalaupun kita mahu menghantar mereka pulang, jangan menghalau mereka dengan kebencian. – AlHijrah Online

Penulis adalah wartawan di zon konflik dan bencana yang pernah ditugaskan membuat liputan isu pelarian di Gaza (Palestin), Syria, Turki, Lubnan, Somalia, Yaman, Perancis, UK, Greece dan isu etnik Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan Malaysia.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.