Jeddah: Pengalaman menggunakan kemudahan teknologi terkini dalam persediaan menunaikan ibadah haji pada tahun ini semestinya memberi keselesaan buat jemaah seluruh dunia.
Bermula dari lapangan terbang negara masing-masing sehingga ke tanah suci, perjalanan bertambah lancar dan lebih menjimatkan masa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ini termasuk jemaah Malaysia yang pengalaman menggunakan aplikasi penting semasa musim haji seperti aplikasi Saudi Visa Bio, Nusuk dan juga aplikasi MyBorderPass untuk kemudahan jemaah Malaysia.
Bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, jemaah dapat menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan di pintu pemeriksaan dengan menggunakan MyBorderPass.
Kurang daripada dua minit, jemaah sudah boleh melepasi tanpa sebarang masalah.
Dalam pada itu, dengan penambahbaikan beberapa ciri pembaharuan pada kesemua aplikasi tersebut pada tahun ini, jemaah tidak perlu bimbang dan boleh fokus untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut Fasilitator Media dan Ketua Delegasi Haji Media Malaysia 2025, Datuk Izelan Basar, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Arab Saudi akan mengaplikasi teknologi yang semakin canggih dan serba moden pada musim haji selepas ini selaras dengan ‘Wawasan 2030 Arab Saudi’ yang menjadikan teknologi sebagai salah satu teras utamanya.
“Di Arab Saudi makin lama makin canggih dan saya berpandangan bahawa tak lama lagi musim haji ni akan bertambah canggih.
“Mereka berhajat untuk menunaikan haji pada masa akan datang perlu sesuaikan diri dengan telefon pintar. Saya juga difahamkan bahawa di sini juga akan gunakan teknologi pengesanan muka serta lain-lain teknologi moden,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan jemaah terutamanya kepada golongan warga emas agar kekal berhati-hati semasa menggunakan aplikasi-aplikasi haji yang terkini.
Sementara itu, sembilan pengamal media Malaysia yang menerima jemputan haji tajaan Kementerian Media Arab Saudi sudah tiba di Jeddah awal pagi tadi (waktu tempatan) dan dijadualkan akan mengikuti lawatan-lawatan khas yang disediakan kerajaan Arab Saudi. — AlHijrah Online