Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KENDERAAN, KHEMAH PENIAGA ROSAK AKIBAT ANGIN KUAT DI IPOH

DALAM NEGARA

KENDERAAN, KHEMAH PENIAGA ROSAK AKIBAT ANGIN KUAT DI IPOH

Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

Sumber Gambar: BERNAMA

IPOH: Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

Salah satu insiden terbabit, yang turut tular di media sosial, ialah di kawasan parkir restoran makanan segera di Medan Gopeng yang melibatkan beberapa kenderaan pelbagai jenis.

Tinjauan Bernama di lokasi tersebut mendapati sebahagian kenderaan telah ditunda ke bengkel dengan trak tunda.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Husna, 30an, berkata bumbung serta cermin kereta Proton Saga miliknya rosak teruk akibat dihempap pokok.

Beliau yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi hanya disedari selepas dimaklumkan oleh majikannya.

“Saya sangat terkejut apabila melihat kenderaan saya telah rosak, apa boleh buat perkara sudah berlaku, saya reda sahaja,” katanya.

Kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu, beberapa buah khemah peniaga ranap di hadapan sebuah stesen minyak di Desa Aman, Pengkalan di sini, setelah dilanda angin kuat dan hujan lebat.

Dilaporkan beberapa batang pokok turut tumbang di kawasan itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di Gunung Rapat pada pukul 3.53 petang tadi.

Katanya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebatang pokok besar telah menimpa lima buah kenderaan, namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

Beliau berkata anggota bomba telah melakukan kerja-kerja memotong dahan pokok menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan potongan pokok itu ke tempat yang lebih selamat.

Operasi yang turut dibantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh itu tamat sepenuhnya 5 petang tadi.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading