KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam memperkasakan institusi tahfiz di Malaysia melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 yang menjadi dasar tunggal dalam menaungi pendidikan tahfiz sejak 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, DPTN 2.0 digerakkan berasaskan lima teras utama, termasuk memperkukuh undang-undang, mewujudkan model institusi tahfiz, kurikulum bersesuaian dengan arus perdana, tadbir urus yang mantap serta sistem pengiktirafan dan pensijilan.
Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut melaksanakan strategi inklusif dalam menambah baik ekosistem pendidikan tahfiz agar huffaz berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan meningkatkan kebolehpasaran dalam pelbagai bidang kerjaya.
“Antara langkah yang diperkenalkan ialah Sijil Tahfiz Malaysia (STM) bagi mengiktiraf pelajar yang menamatkan 30 juzuk hafazan serta Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) bagi pengiktirafan hafazan secara berperingkat,” katanya semasa memberikan maklum balas terhadap Senator Tuan Musoddak Ahmad, di Dewan Negara hari ini.
Dalam perkembangan yang lain, Mohd Na’im turut menjelaskan berkenaan perancangan jangka panjang kerajaan untuk menaikkan kadar elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).
Ujarnya, kerajaan sentiasa menghargai peranan guru KAFA dan Takmir dalam menyampaikan pendidikan agama Islam kepada masyarakat, namun penambahbaikan elaun perlu diteliti dengan lebih mendalam.
“Penelitian lanjut perlu dilakukan dari aspek penambahbaikan waktu bekerja dan penyesuaian masa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di premis KAFA yang kebanyakannya beroperasi di sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.—AlHijrah Online