GOMBAK: Seorang mahasiswi Tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meninggal dunia, manakala dua lagi rakannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 25.40 arah Timur Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, malam semalam.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 8:10 malam melibatkan mangsa, Nurul Syakirah Muhammad Nizam, yang merupakan mahasiswi Sarjana Muda Undang-Undang & Syariah, Fakulti Syariah Undang-Undang USIM.
Sementara mangsa yang dilaporkan cedera adalah Nurul Huda Mohd Hassan dan Nurus Sakinah Hashim yang juga mahasiswi Tahun 1 Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM.
Semasa kejadian, kesemua mangsa dilaporkan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum kenderaan itu hilang kawalan dan terbalik di lorong laju.
“Pemandu telah tercampak ke jalan dan telah disahkan maut oleh pihak perubatan Hospital Selayang,” menurut laporan ringkas dari pihak polis.
Menurut laporan awal, Nurul Syakirah dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua rakannya telah dimasukkan ke Zon Kuning Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, PALAPES USIM menerusi hantaran Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pegawai Kadet Wanita Batch 46 iaitu PKW Nurul Syakirah Muhammad Nizam yang telah kembali ke rahmatullah.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh warga PALAPES USIM.
“Kami menzahirkan dukacita yang mendalam kepada keluarga Allahyarhamah atas kehilangan yang amat besar ini. Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan, kesabaran dan kekuatan iman kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini,” katanya.–AlHijrah Online