RAWANG: Konflik dalaman dan perang saudara yang lama di Syria menyebabkan banyak rumah, infrastruktur awam musnah serta ekonomi merudum.
Namun selepas berakhirnya era pemerintahan rejim Bashar al-Assad, rakyat Syria bersemangat untuk kembali memulakan hidup baru.
Bagaimanapun perkara itu tidak mudah dan memerlukan bantuan terutama dari negara luar.
Bertindak atas kewajipan ummah, Muslim Care Malaysia (MCM), antara badan bukan kerajaan (NGO) terawal menjadi penggerak dalam menyalurkan bantuan untuk jangka masa pendek dan panjang buat rakyat di bumi Syam.
Menurut presidennya Zulkifli Wahijan, dalam misi Malaysia Aid 2 Syria bersama rakan kolaborasi yang turut disertai kru Berita AlHijrah, akan menyalurkan bantuan jangka masa pendek bagi memenuhi keperluan mendesak ketika ini.
“Misi yang disertai 20 peserta ini akan berlepas pada 21 Jan hingga 31 Jan ini untuk menyalurkan pelbagai bantuan termasuk pek makanan, pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan serta perubatan,” katanya pada sidang media pelancaran misi Malaysia Aid 2 Syria di sini, semalam.
Dalam pada itu, MCM yang sudah menyalurkan bantuan di Syria sejak 2013 turut memfokuskan bantuan jangka masa panjang antaranya pembinaan rumah kos rendah dan pendidikan.
“Rakyat Syria tidak mempunyai duit kos untuk kembali ke negara mereka, untuk membina semula rumah-rumah serta sekolah yang telah dimusnahkan.
“Tiada NGO yang fokus dalam pendidikan ketika itu, mereka hanya tinggal di khemah, tiada aktiviti pembelajaran.
“Jadi seawal tahun 2013, kami telah mendirikan sekolah-sekolah pelarian dan setakat ini 13 buah sekolah telah didirikan, sehingga sebahagian daripada mereka telah berjaya memasuki universiti di Turkiye,” katanya.
Misi Malaysia Aid 2 Syria menyasarkan RM1 juta bagi menyempurnakan misi itu di empat lokasi bantuan iaitu Damsyik, Aleppo, Homs dan Hama.
Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada misi ini boleh dibuat menerusi akaun Muslim Care Malaysia 564490413882 (Maybank) dengan rujukan ‘AID2SYRIA’.—AlHijrah Online