KAJANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang hilang kawalan sebelum terjatuh dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 11.2 Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian sekitar 2.45 pagi menyebabkan mangsa berusia 28 tahun maut di lokasi kejadian.
“Siasatan polis mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Kajang secara tiba-tiba hilang kawalan dan telah melanggar besi penghadang di sebelah kanan jalan.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah iaitu putus kedua belah kaki,” katanya hari ini.
Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tambahnya.
Naazron meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.–AlHijrah Online