Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PIHAK BERKUASA DIMINTA SIASAT STATUS KUMPULAN PERCAYA IMAM MAHDI MUNCUL DI MAKKAH

DALAM NEGARA

PIHAK BERKUASA DIMINTA SIASAT STATUS KUMPULAN PERCAYA IMAM MAHDI MUNCUL DI MAKKAH

Pihak berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Makkah, kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

BAGAN SERAI: Pihak berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Makkah, kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

“Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri, di Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

Menurutnya orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

“Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang ‘Mursyid’, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

Dilapor, beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan yang telah ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dilapor berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah dan kini Awal Muharram.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading