KUALA LUMPUR: Sebagai mualaf yang baru memeluk Islam pada September tahun lalu, pelbagai persoalan berkaitan Islam bermain di fikiran Angeline Tan atau nama Islamnya, Ardini dalam usahanya mendalami dan mendekatkan diri dengan agama suci itu.
Suaminya, Sabri Yunus berkata beliau sering menjadi rujukan isterinya untuk persoalan-persoalan dan kekeliruan berkenaan ilmu Islam terutama perkara asas dalam beribadah.
Sabri berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai suami dan individu yang membawa Angeline ke dunia Islam untuk memberikan jawapan kepada setiap persoalan isterinya.
“Sebagai suami penting untuk kita menjawab persoalan isteri terutama berkaitan ajaran Islam. Tidak dinafikan kadang kala ada persoalan yang saya tidak pasti jawapannya saya akan buat semakan dahulu sebelum jelaskan kepadanya.
“Kalau soalan dia saya tak tahu jawapan takut nanti dia cakap saya sama saja macam dia,” katanya secara berseloroh.
Sementara itu menurut Angeline, ajaran Islam merupakan perkara baru buat dirinya dan setiap persoalan yang dilontarkan adalah bagi memastikan amalan dan ibadahnya selari tuntutan agama.
Beliau juga mahu benar-benar memahami ajaran suci itu kerana sering juga menjadi rujukan rakan-rakan bukan muslim mengenai agama Islam.
“Kawan-kawan dekat luar yang bukan Islam selalu tanya kepada saya sebab mereka juga ramai yang ingin tahu berkenaan ajaran Islam.
“Bila saya boleh jawab dengan lebih jelas mereka akan lebih faham sebab saya percaya dengan memahami agama lain kita akan lebih bersatu dan beramah mesra antara satau sama lain,” katanya.
Bagi memastikan ilmu dikongsi Sabri dan soalan ditanya Angeline mendapat manfaat yang lebih besar, TV AlHijrah menerbitkan rancangan soal jawab agama berkonsepkan santai, ‘Angeline Tanya, Abang Jawab’ bakal menemui penonton TV Alhijrah bermula 18 September depan.
Rancangan itu menggabungkan agama, hiburan dan pendidikan, serta bertujuan memberikan bimbingan kepada Saudara Baharu untuk mendalami asas agama Islam.
Program ini akan disiarkan bermula 18 September, setiap Rabu, jam 8.30 malam, dan menampilkan pasangan suami isteri Sabri dan Angeline yang saling berinteraksi melalui soalan-soalan berkaitan pelbagai isu agama, kehidupan dan sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah memikul tanggung jawab besar dalam menyantuni golongan Saudara Baharu di Malaysia.
“Dakwah di platform penyiaran TV AlHijrah dilihat mampu mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah pada zaman kini. Oleh itu, program ini diterbitkan untuk memberikan pandangan yang mendalam mengenai nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan, sambil menjadikan proses pembelajaran buat golongan mualaf menjadi lebih menyeronokkan.
“Setiap persoalan yang diajukan oleh Angeline kepada Sabri Yunus adalah persoalan yang kerap kali dibangkitkan oleh golongan mualaf seperti perihal fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab dalam rumahtangga dan keluarga, kefahaman dan amalan ibadah, etika pemakaian dalam Islam, hubungan sesama Islam dan bukan Islam serta banyak lagi topik lain.
“Setiap episod program ini diharapkan dapat menyampaikan pesan-pesan kebaikan secara jelas dan mempromosikan keharmonian dalam keluarga Muslim. Dengan penggabungan elemen-elemen itu, program ini diharapkan dapat memenuhi keperluan penonton dan masyarakat yang ingin mendalami ajaran agama Islam sambil merasai kedekatan kekeluargaan yang lebih menyenangkan.
“Dengan adanya unsur humor yang diselitkan secara bijak oleh Sabri Yunus, serta penerangan daripada barisan asatizah, kami yakin konsep kebaikan dan cinta kasih Islam akan terserap dengan lebih baik oleh penonton,” jelas Namanzee.
Barisan asatizah dan ilmuan yang turut terbabit dalam menjawab soalan-soalan yang ditanyakan Angeline Tan antaranya Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Azhar Ghazali, Ustaz Zul Ramli, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi.
Walau diterbitkan khusus untuk saudara baru, namun Program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ ini juga sangat digalakkan untuk ditonton seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga yang ingin mendapatkan pencerahan mengenai pelbagai isu kehidupan seharian dan panduan dalam menjalani kehidupan berteraskan nilai-nilai Islam.
Rancangan ini juga akan disiarkan di multi-platform iaitu di kaca televisyen dan di aplikasi AlHijrah Plus serta media sosial. — AlHijrah Online