KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua awal pagi tadi.
Hajiji, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini.
Turut hadir Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Sulit Musa iaitu Izharuddin Jalaludin.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi menyaksikan Hajiji menandatangani dokumen berkaitan.
Mengikut keputusan rasmi, GRS mendahului pesaing dengan memperolehi 29 kerusi manakala pencabar terdekatnya iaitu Parti Warisan (Warisan) memperoleh 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) (6), UPKO (3) dan STAR (2).
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.
Selepas beberapa jam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 melabuhkan tirainya, Hajiji kembali menerajui pentadbiran negeri itu selepas secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, bagi penggal kedua.
Hajiji, 70, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini, kira-kira 3 pagi.
Lantikan Hajiji itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan GRS sebagai gabungan terbesar pada pilihan raya kali ini dengan memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Sabah memperoleh 37 daripada 73 kerusi DUN.
GRS bertanding sebanyak 55 kerusi DUN termasuk Hajiji yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman buat kali kesembilan, dengan majoriti 8,919 undi pada pilihan raya kali ini.
Parti Warisan (Warisan) muncul sebagai pembangkang terbesar dengan 25 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) memenangi enam kerusi, Perikatan Nasional (PN) peroleh satu kerusi dan calon Bebas meraih lima kerusi.
Terdahulu, rundingan untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu, berlangsung di beberapa lokasi di bandar ini, antaranya melibatkan Presiden Kehormat UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang dilihat berkunjung ke kediaman rasmi Ketua Menteri serta Istana Seri Kinabalu.
Selain itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal pula turut berkumpul di Hotel Avangio, di sini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata sebagai sebuah parti yang sentiasa mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN sedia bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk kerajaan negeri baharu demi kestabilan politik Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama meraikan kemenangan GRS dalam pilihan raya negeri kali ini, sebagai permulaan kepada bab baharu yang dipenuhi dengan tujuan dan tekad untuk membina masa hadapan yang lebih baik.
Beliau berkata sejak awal, komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan menerusi agenda pembangunan holistik dan inklusif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menggerakkan pembangunan bermakna serta membina jambatan menyatukan dan bukan memisahkan.
“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United),” katanya.
Hajiji berkata komitmen penuh gabungan parti tempatan Sabah itu adalah untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.
“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai,” katanya yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman buat penggal kesembilan.
Beliau juga mahu semua rakyat Sabah bersama-sama kerajaan negeri, untuk terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan memacu kemajuan negeri dengan perpaduan sebagai kekuatan, bagi memastikan kemenangan tersebut benar-benar membawa makna.
“Kepada semua pihak lawan, kita telah bertanding bersama-sama sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.
“Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif, demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui media di luar istana, Hajiji secara ringkas berkata “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, selesai sudah saya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, terima kasih kita jumpa esok”.
Hajiji, 70, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini, kira-kira 3.05 pagi.