Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KALIMAH ‘ALLAH’ DI TOKONG GEMPARKAN PENDUDUK MELAKA

DALAM NEGARA

KALIMAH ‘ALLAH’ DI TOKONG GEMPARKAN PENDUDUK MELAKA

Hasil pemeriksaan awal mendapati tokong ini dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ serta ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan jawi hanya dikesan malam ini.

MERLIMAU: Penemuan kalimah ‘Allah’ dalam tulisan jawi di sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu, Pantai Siring, di sini menggemparkan penduduk setempat, malam tadi.

Perkara itu disedari kumpulan pemancing sebelum dilaporkan kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman yang kemudian bergegas ke lokasi untuk membuat pengesahan.

Menurut beliau, pemeriksaan sekitar jam 11 malam mendapati tokong berkenaan merupakan binaan batu yang terletak di kawasan hutan paya bakau dipesisir pantai, berhampiran tanah berpagar milik individu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tokong ini dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ serta ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan jawi hanya dikesan malam ini.

“Saya telah minta pihak penguatkuasa untuk buat langkah seterusnya selain saya juga minta penduduk untuk bertenang dan tidak membuat sebarang andaian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, isu melibatkan sensitiviti agama seperti itu berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum, justeru pihak polis telah diminta melakukan kawalan sementara di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, perbincangan segera turut diadakan melibatkan beberapa pihak termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyelaras tindakan lanjut.

Rahmad turut memaklumkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Atan telah diminta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi tindakan penguatkuasaan sekiranya pembinaan itu didapati tidak mendapat kelulusan.

“Saya mahu pemilik tanah melihat sendiri keadaan di lokasi sebelum sebarang tindakan diambil, selain meneliti sama ada kawasan ini melibatkan rizab pantai yang tidak membenarkan sebarang pembinaan tanpa kelulusan,” katanya.

Tegas beliau, siasatan lanjut akan dijalankan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.

“Langkah siasatan ini penting bagi memastikan isu ini tidak mencetuskan sebarang ketegangan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading