Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KEKHILAFAN MENGUTAMAKAN KEMENANGAN POLITIK BERBANDING HAJI DAN UMRAH

DALAM NEGARA

KEKHILAFAN MENGUTAMAKAN KEMENANGAN POLITIK BERBANDING HAJI DAN UMRAH

Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi.

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan ini ingin menegaskan bahawa kenyataan mana-mana pemimpin politik yang mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah dipetik dalam konteks yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Haji sebagai rukun Islam kelima, merupakan kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sebagaimana termaktub dalam al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 97 dan sesekali tidak mengengkari kewajipannya. Umrah pula adalah ibadah sunat yang amat digalakkan, yang membawa ganjaran spiritual yang besar seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi. Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang di mana giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa yang begitu panjang.

Penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihanraya.

Islam mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT, kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal.

IKIM menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan perkara di atas. Sebaliknya pemimpin digalakkan untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan.

Kami juga menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan spiritual.

IKIM kekal komited untuk memupuk kefahaman Islam yang seimbang dan menyeluruh demi kemaslahatan ummah. —AlHijrah Online

Sumber: BERNAMA

Artikel ini ditulis oleh Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading