KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang lelaki yang tular videonya merokok di sebuah stesen minyak dan memandu secara berbahaya di Damansara Damai, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M. Hussin Sollehuddin Zolkifly Berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor, kira-kira jam 2 petang tadi.
Katanya hasil saringan air kencing terhadap suspek yang juga mempunyai 34 rekod jenayah lampau itu didapati positif ganja.
“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat esok (12 Dis) di Mahkamah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, polis telah menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular membabitkan tindakan seorang lelaki merokok di sebuah stesen minyak dan memandu secara berbahaya di Damansara Damai, Petaling Jaya di sini.
Polis telah mengesan video tular berkenaan pada 8 pagi semalam, yang memaparkan seorang individu menghisap rokok di kawasan stesen minyak dan kemudian melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan, apabila ditegur oleh seorang orang awam.–AlHijrah Online