
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia diseru untuk bermunajat dan menunaikan solat hajat dalam usaha mendepani cabaran krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, kekuatan spiritual melalui doa dan kesatuan ummah menjadi benteng penting dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Saat dunia berdepan ketidaktentuan, kita sebagai rakyat tidak pernah lemah – kita ada doa, kita ada kesatuan.
“Bersama kita panjatkan munajat agar para pimpinan negara dipandu dengan hikmah, diberi kekuatan membuat keputusan yang tepat, dan dipermudah segala urusan dalam menjaga kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran ini.
Tambahnya umat Islam yang berkelapangan dijemput hadir untuk bersama menunaikan solat Hajat serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam ke Masjid Putra Putrajaya pada Khamis 9 April ini.
Majlis akan bermula dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam dan boleh disaksikan juga secara langsung di TV AlHijrah.
“Di sinilah titik pertemuan antara rakyat dan kepimpinan – dalam sujud yang sama, memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala.
“Sesungguhnya, doa adalah senjata mukmin,” katanya.—AlHijrah Online