Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TRUMP SETUJU GANTUNG SERANGAN TERHADAP IRAN SELAMA DUA MINGGU

DUNIA

TRUMP SETUJU GANTUNG SERANGAN TERHADAP IRAN SELAMA DUA MINGGU

Trump juga memaklumkan bahawa Amerika Syarikat telah menerima cadangan yang mengandungi 10 perkara daripada Iran, dan menganggapnya sebagai perkara yang baik untuk rundingan lanjut. 

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada hari Selasa mengumumkan penangguhan selama dua minggu terhadap sebarang operasi ketenteraan ke atas Iran selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Pakistan.

Menurut Trump, keputusan itu dicapai susulan perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, serta Panglima Tentera negara itu, Asim Munir. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penangguhan tersebut bergantung kepada tindakan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz secara menyeluruh, segera dan dalam keadaan selamat, seperti dilaporkan oleh Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataannya di platform Truth Social, Trump memaklumkan bahawa beliau bersetuju menghentikan serangan buat sementara waktu selama dua minggu, sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk gencatan senjata yang melibatkan kedua-dua pihak.

“Saya bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama tempoh dua minggu. Ini akan menjadi gencatan senjata dua hala,” tulisnya di platform Truth Social miliknya.

Beliau turut menjelaskan bahawa matlamat ketenteraan Amerika Syarikat telahpun dicapai, dan tempoh bertenang ini diharap dapat memberi ruang kepada rundingan bagi memuktamadkan satu perjanjian yang lebih menyeluruh.

Sebelum itu, Trump menetapkan tarikh akhir kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz serta memastikan aliran bekalan minyak dan gas kembali lancar sebelum jam 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu). 

Jika gagal, beliau memberi amaran keras bahawa akibatnya boleh membawa kemusnahan besar.

Dalam perkembangan berkaitan, Sharif menerusi platfrom X menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik supaya mematuhi gencatan senjata selama dua minggu bagi membuka laluan kepada usaha diplomatik mencapai penyelesaian muktamad.

Trump juga memaklumkan bahawa Amerika Syarikat telah menerima cadangan yang mengandungi 10 perkara daripada Iran, dan menganggapnya sebagai perkara yang baik untuk rundingan lanjut. 

Menurut beliau, kebanyakan isu utama antara kedua-dua negara kini hampir mencapai persetujuan, namun tempoh tambahan diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.

Sementara itu, laporan oleh CNN yang memetik sumber dari Rumah Putih menyatakan bahawa Israel turut terlibat dalam gencatan senjata sementara ini dan telah bersetuju menghentikan serangan udara terhadap Iran sepanjang tempoh rundingan berlangsung. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading